GPLK angkat warisan dikir barat
SHAH ALAM - Lagu-lagu berunsur pesanan serta diselitkan dengan jenaka mewarnai program Dikir Barat Bulanan di Kompleks Media Karangkraf di sini.
Program anjuran Gabungan Pendikir Lembah Klang (GPLK) bermula kira-kira jam 9 malam tadi turut dihadiri masyarakat kawasan Shah Alam dan sekitar.
Presiden GPLK, Asrulfaizal Kamaruzaman berkata, program ini diadakan secara langsung untuk mengangkat seni warisan dikir barat.
"Seni dikir barat merupakan warisan zaman berzaman dan perlu dipelihara nilai-nilainya perlu diterapkan dalam diri golongan muda masa kini.
"Ia bukan sahaja sekadar hiburan semata-mata namun selingan berunsur nasihat turut ada, jadi itu antara keistimewaan dikir barat ini," katanya.
Program ini sekali gus menjadi platform untuk mengeratkan tali silaturahim antara ahli GPLK.
"Ia juga dapat memberi pendedahan kepada orang ramai khususnya anak muda untuk bersama-sama terlibat dalam mengangkat budaya warisan ini.
"Program dikir barat bulanan ini bermula sejak 2016 lagi, dan istimewanya malam ini kita panggil semua tukang karut yang ada di bawah Gabungan Pendikir Lembah Klang (GPLK) untuk membuat persembahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!