Kerajaan tidak pilih 'warna' politik salur bantuan banjir
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak pernah bersikap pilih kasih dalam menyalurkan bantuan banjir kepada rakyat termasuklah di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, sebarang perbezaan politik perlu diketepikan bagi memastikan rakyat yang terjejas mendapat bantuan sewajarnya.
“Kita tidak pilih kasih, cuma prasangka (sesetengah pihak) sering dilemparkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), bukan saya.
“Saya fikir dalam menangani soal banjir, ketepikan warna-warga politik yang berbeza demi rakyat dan kawasan yang kerap terkesan akibat banjir (dan) kita akan lakukan koordinasi,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN - Rantau Panjang) yang bertanyakan bila peruntukan wang bantuan banjir kepada rakyat di kawasannya akan disalurkan.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Kemajuan Dewan Dan Wilayah berkata, proses penyaluran bantuan banjir kini sedang berjalan dan pihak yang terjejas bakal menerimanya dalam masa terdekat.
Ahmad Zahid dalam masa sama turut memuji kerjasama baik yang diberikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sepanjang lawatannya ke negeri itu ketika musim banjir baru-baru ini.
“Terima kasih Menteri Besar Kelantan, dua kali saya turun dua kali beliau bersama dengan saya, mungkin Menteri Besar Terengganu (Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula) tidak berkesempatan kerana sibuk di luar negara,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!