Jaga adab, elak Dewan Rakyat dianggap zoo - Timbalan Speaker

Timbalan Speaker, Ramli Mohd Nor
Timbalan Speaker, Ramli Mohd Nor
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen sekali lagi diingatkan supaya sentiasa beradab bagi memastikan masyarakat tidak terus melabel Dewan Rakyat sebagai ‘zoo’.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor berkata, masyarakat ketika ini melihat dewan itu sebagai tempat ‘berbalah’ bukannya untuk menyelesaikan isu rakyat.

“Ingin saya ingatkan juga (bahawa) kita (bersidang) secara langsung. Semalam, saya pergi ke kedai mamak dan mereka (rakyat) mengenali saya.

“(Mereka bertanya), macam mana zoo? Saya terkejut (dan) inilah persepsi masyarakat di luar sana. Jadi, saya berharap (semua ahli Parlimen) berpegang lah kepada etika,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Ramli dalam masa sama turut menegur sikap segelintir ahli Parlimen yang membuat ‘mesyuarat kecil’ ketika ahli Parlimen sedang berbahas atau menteri sedang menjawab soalan.

“Saya berharap tidak ada perjalanan mesyuarat kecil di dewan. Sementara seorang Yang Berhormat bercakap ada pula mesyuarat kecil di sebelah sini dan sebelah sana.

“Sila beri perhatian dan saya harap semua Yang Berhormat ambil maklum,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!