Ibu tunggal reda terpaksa berkerusi roda hingga akhir hayat

Azizah reda dengan ujian kesihatan sehingga menyebabkan dirinya berkerusi roda dan tidak mampu bekerja.
Azizah reda dengan ujian kesihatan sehingga menyebabkan dirinya berkerusi roda dan tidak mampu bekerja.
A
A
A

KUANTAN - Seorang ibu tunggal terpaksa berkerusi roda sepanjang hayatnya selepas kaki sebelah kirinya dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis.

Lebih menyedihkan, kedua-dua mata Azizah Mohd Yusop, 46, turut kabur selain menghidap penyakit darah tinggi dan buah pinggang sehingga perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu.

Ibu kepada dua anak itu berkata, derita itu terpaksa ditanggung sejak lapan bulan lalu sehingga menyukarkan dirinya bergerak dan sekali gus tidak mampu bekerja.

"Hidup saya mula berubah, daripada ada kudrat untuk bekerja, kini saya bergantung sepenuhnya kepada anak sulung untuk bantu sara keluarga.

"Tak tahu apa kesudahan nasib saya. Saya kini mudah tersentuh bila kenangan saat masih berupaya mampu bergerak mencari rezeki untuk anak-anak, tapi kini hanya bergerak di dalam rumah menggunakan kerusi roda," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Seberang Balok pada Khamis.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Beserah, Andansura Rabu mengadakan lawatan dan menyalurkan sumbangan kepada Azizah sekeluarga.

Andansura menziarahi Azizah sekeluarga di rumahnya di Kampung Seberang Balok di sini.
Andansura menziarahi Azizah sekeluarga di rumahnya di Kampung Seberang Balok di sini.

Dia yang sebelum ini bekerja sebagai kerani di Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memberitahu, anak sulungnya, Aziatul Alia, 19, terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makan berhampiran rumahnya.

Jelasnya, pendapatan harian itu digunakan untuk membeli makanan dan perbelanjaan persekolahan adiknya yang berusia 12 tahun.

"Alia kata dia perlu bekerja dan berusaha bantu keluarga. Kalau dia tidak berkorban siapa lagi.

"Jadi dia perlu bekerja dan sekurang-kurangnya tidak bergantung sangat kepada ihsan orang lain untuk menampung kehidupan," luahnya.

Azizah mengakui reda dengan ujian menimpanya dan belajar hidup dengan mendirikan semua kekurangan yang ALLAH berikan.

Malah, dia juga pasrah apabila terpaksa bergantung kepada rawatan dialisis sebanyak tiga kali seminggu bagi meneruskan hidup.

"Kos rawatan itu ditanggung sepenuhnya oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kerana sebelum ini pernah bekerja sebagai kerani di koperasi Felda.

"Saya bersyukur kerana kos dialisis ditanggung oleh Perkeso. Kalau tiada bantuan ini saya terpaksa mengeluarkan belanja hampir RM250 untuk setiap kali sesi dialisis.

"Selain itu, saya juga dapat bantuan daripada JKM sebanyak RM450 sebulan dan wang itu digunakan untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti, ujarnya.

Orang ramai ingin menyalurkan bantuan boleh melalui akaun bank CIMB 7626711952 atas nama Azizah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!