'Ada sengaja kerja dengan scammer' - KDN
KUALA LUMPUR - Seramai 339 rakyat Malaysia ketika ini dikesan terlibat dalam penipuan pekerjaan di luar negara selepas terpedaya dengan tawaran yang diiklankan secara dalam talian.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, daripada jumlah itu, 218 mangsa telah di bawa pulang ke tanah air manakala seramai 121 lagi mangsa dikategorikan sebagai terkandas dan proses membawa pulang mereka giat dilakukan.
“Jenayah penipuan pekerjaan terhadap warga negara Malaysia di luar negara menyaksikan trend (membimbangkan) ketara sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini.
“Apa yang berlaku ada dalam kalangan rakyat kita yang tertarik dengan iklan pekerjaan di luar negara sebagai pegawai khidmat pelanggan, jurubahasa dan kasino dengan upah lumayan, tempat tinggal dan tambang penerbangan juga ditanggung.
“(Tetapi) apabila sampai di sana mereka akhirnya (menjadi) scammer, Love scam dan penipuan pelaburan,” katanya di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) yang memintanya menyatakan jumlah terkini rakyat Malaysia yang terlibat dalam sindiket tersebut.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, berdasarkan hasil siasatan pihak polis ke atas mangsa yang diselamatkan, meraka sememangnya mengetahui ke negara terlibat bekerja sebagai scammer.
“Selain kategori mangsa tertipu dengan tawaran pekerjaan, ada juga yang tahu tujuan mereka ke sana sebagai scammer, malah ada juga mangsa yang diselamatkan dan berjaya di bawa pulang ke Malaysia akhirnya kembali ke negara berkenaan untuk bekerja.
“Hancur luluh pasukan polis (yang bertungkus-lumus menyelamatkan mereka. Apabila diberitahu (ada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan), kita kesan mereka (dan bawa pulang).
“Ini bukan fakta yang direka-reka, saya menjawab dalam Dewan Rakyat yang mulia (dan) bila kita lihat profil (hasil siasatan polis) di kalangan rakyat Malaysia yang balik dan begitulah kisahnya,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai usaha atau langkah yang diambil kerajaan untuk menangani isu penipuan pekerjaan itu, beliau berkata, kerjasama antara Malaysia dengan negara terlibat turut dilaksanakan bagi mengesan mangsa yang terdiri daripada rakyat negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!