MAIPk akan keluar garis panduan berkaitan kuliah di masjid
IPOH - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) akan mengeluarkan garis panduan rasmi berkaitan kuliah di masjid dan surau di negeri ini.
Perkara itu juga turut melibatkan ketetapan berhubung isu tauliah mengajar melibatkan ahli politik yang menimbulkan polemik sebelum ini.
Yang Dipertuanya, Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, beberapa pertemuan telah dibuat dengan pemimpin politik termasuk wakil rakyat berhubung perkara tersebut.
Menurut beliau, MAIPk akan mengadakan mesyuarat pada 2 Mac depan untuk berbincang dan menetapkan garis panduan berkenaan sebelum dipersembahkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk diperkenankan.
"Di MAIPk kita buat secara perundingan, musyawarah kembali kepada budaya Islam. Kita cari jalan berdamai, cari ketenteraman daripada kita cuba nak berjalan secara konfrantasi. Kita nak semua pihak menang.
"Saya nak cuba damaikan supaya aktiviti agama di masjid dapat berjalan dengan harmoni tambahan pula bulan Ramadan nak sampai," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Buku Belajar Asas Membaca Al-Quran Kaedah Muallim, Mari Belajar Jawi KSSR dan Fahami Bacaan Dalam Solatmu di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Mohd Annuar berkata, garis panduan yang akan dikeluarkan nanti sudah pastinya dipersetujui oleh semua pihak dan bukan hanya arahan daripada MAIPk semata-mata.
Katanya, setelah garis panduan tersebut diperkenankan, Sultan Nazrin mungkin akan menitahkan semua wakil-wakil parti menghadap untuk diberikan penerangan.
"Kita mahu wakil parti-parti ini bekerjasama dengan kita untuk memaklumkan penyokong masing-masing supaya menghormati keputusan yang ditetapkan.
"MAIPk mahu memastikan institusi masjid dan surau di negeri ini bebas dari sebarang pengaruh politik kepartian," katanya.
Sebelum ini, kerajaan Perak menegaskan semua wakil rakyat sama ada dalam kalangan kerajaan mahu pun pembangkang tidak dibenarkan mengajar di masjid dan surau.
Mufti Perak, Datuk Dr Wan Zahidi Wan Teh dalam satu kenyataan menjelaskan larangan ahli politik untuk menyampaikan ucapan atau mengadakan aktiviti di masjid dan surau di Perak dilaksanakan bagi memastikan umat Islam tidak berpecah belah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!