'Ada mangsa scammer pergi semula selepas diselamatkan'

Saifuddin Nasution ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Saifuddin Nasution ketika Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan ada dalam kalangan mangsa penipuan pekerjaan yang berjaya diselamatkan dan dibawa balik ke Malaysia akhirnya didapati pergi semula ke negara berkenaan.

Menurut beliau, ia bukan cerita rekaan tetapi hakikat yang perlu diakui dan diketahui semua pihak.

“Hancur luluh pasukan polis yang bertungkus-lumus menyelamatkan mereka apabila diberitahu ada rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan, kita kesan mereka (dan bawa pulang).

“Ini bukan fakta yang direka-reka, saya menjawab dalam Dewan Rakyat yang mulia dan bila kita lihat profil (hasil siasatan polis) di kalangan rakyat Malaysia yang balik dan begitulah kisahnya,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Sim Tze Tzin (PH - Bayan Baru) yang memintanya menyatakan apakah langkah yang diambil kementeriannya bagi menangani isu penipuan pekerjaan itu.

Tambahnya, melalui profil hasil daripada siasatan yang dijalankan polis terhadap mangsa yang diselamatkan juga mendapati ada antara mereka yang pergi ke negara terlibat untuk berjudi.

Selepas kalah judi katanya, kumpulan berkenaan membuat pinjaman dengan ah long dan apabila tidak mampu membayar, mereka membuat laporan polis minta diselamatkan.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Saifuddin Nasution turut mengesahkan video tular yang memaparkan individu diseksa dan dipukul dipercayai mangsa penipuan pekerjaan tidak melibatkan rakyat Malaysia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!