Polis minta saksi kemalangan maut tampil bantu siasatan
PETALING JAYA - Seorang wanita maut setelah dirempuh sebuah motosikal ketika melintas jalan bersama anaknya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang pada Selasa, mangsa berusia 37 tahun dilaporkan telah dilanggar di Jalan PJS 2/2, berhampiran Sekolah Kebangsaan Taman Dato Harun 2, dekat sini.
"Pada Rabu lebih kurang jam 12.29 malam, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya telah menerima satu laporan berkenaan kemalangan jalan raya melibatkan dua mangsa pejalan kaki dan sebuah motosikal jenis Honda.
"Mangsa perempuan yang parah di bahagian kepala telah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) untuk menerima rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia pada Rabu.
"Bagaimanapun, anak mangsa berumur 10 tahun selamat dan hanya mengalami cedera ringan dan luka di bibir," katanya pada Khamis.
Menurutnya, siasatan diteruskan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih di talian 017-7378704 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!