Duti Kastam RM72.32 juta terkurang kutip - LKAN
KUALA LUMPUR - Terdapat kelemahan dalam kutipan duti kastam bagi kenderaan import di pulau bebas cukai (PBC) sekali gus menyebabkan duti kastam berjumlah RM72.32 juta terkurang kutip pada 2021.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 dikeluarkan pada Khamis, perkara itu berpunca daripada kelemahan dalam kutipan duti kastam disebabkan borang pengikraran tidak disokong dengan dokumen sokongan taraf pemastautin yang lengkap dan betul serta kesilapan pengiraan oleh pegawai penaksir.
"Bagi memastikan peraturan dipatuhi sepenuhnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disyorkan melaksanakan penambahbaikan dan mengambil tindakan seperti membuat semakan semula terhadap syarat pembelian kenderaan di PBC supaya memberi faedah kepada kerajaan.
"Bahagian Perkhidmatan Teknik dan Ketua Jabatan hendaklah memastikan garis panduan dikeluarkan dipatuhi terutamanya semasa membuat penilaian taksiran manakala Bahagian Perkastaman hendaklah menjalankan pengauditan selepas pelepasan barangan import,” menurut laporan itu.
LKAN turut mengesyorkan supaya Ketua Jabatan memastikan pegawai di bawah seliaannya melaksanakan tugas dengan mematuhi peraturan yang berkuat kuasa untuk memastikan duti kastam dibayar adalah tepat.
"Selain itu, menambah baik peraturan berkaitan untuk memastikan keseragaman dalam membuat penilaian ke atas kenderaan motor pasang siap yang dibawa keluar dari PBC ke Kawasan Utama Kastam untuk mencegah daripada ketirisan hasil negara,” menurut LKAN. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!