Penjaja asing lari tinggalkan barang jualan

Anggota penguat kuasa DBKL mengangkat barangan jualan yang ditinggalkan penjaja warga asing.
Anggota penguat kuasa DBKL mengangkat barangan jualan yang ditinggalkan penjaja warga asing.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa lokasi kumpulan peniaga warga asing diserbu pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada awal pagi Rabu.

DBKL menerusi Jabatan Penguatkuasaannya telah melakukan kerjasama dengan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan khas terhadap aktiviti peniagaaan kumpulan peniaga tersebut.

Serbuan dua agensi itu telah dilakukan di sekitar Jalan Selayang Baru, Pasar Harian Selayang dan sekitar luar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur.

DBKL dalam kenyataan di media sosial FaceBook berkata, menerusi pemeriksaan bersepadu pegawai serta anggota penguat kuasa DBKL dan MPS di sekitar Jalan Selayang Baru dan Pasar Harian Selayang, tindakan sita dan pindah barangan telah dilakukan.

Katanya, tindakan itu dibuat setelah barangan jualan seperti sayur dan buah-buahan ditinggalkan peniaga warga asing yang dipercayai dari Myanmar di atas jalan apabila aktiviti pemeriksaan dan serbuan dilakukan.

"Pemeriksaan di sekitar Jalan 1/3A, Jalan 2/3A dan Jalan 6/3A Pasar Borong Kuala Lumpur, sejumlah lima tindakan sita dan pindah barangan penjaja sayur-sayuran dan buah-buahan telah dilakukan.

"Tindakan itu dikenakan ke atas pemilik perniagaan warga negara Myanmar (dua tindakan) dan ke atas warganegara (tiga tindakan) yang beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa, sementara satu penutupan (sealed) melibatkan sebuah premis perniagaan di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976," kata DBKL dalam satu kenyataan di media sosial FaceBook.

Dalam tindakan bersepadu kali ini katanya, DBKL turut mengeluarkan 20 notis kompaun pelbagai kesalahan terhadap kenderaan yang membuat halangan lalu lintas menerusi Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Selain itu menurutnya, dua notis kompaun di bawah kesalahan UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dikenakan kerana melantik pembantu premis tanpa kebenaran

Menurut kenyataan itu lagi, DBKL sama sekali tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan penguatkuasaan kepada mana-mana individu yang memegang Kad UNCHR termasuk daripada etnik Rohingya yang menjalankan aktiviti penjajaan tanpa kebenaran.

Menurutnya, semua tindakan penguatkuasaan dilakukan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.

"Kesemua barangan sita telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL, Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!