MAFI belum terima RM37 juta dana obligasi sosial 2021
KUALA LUMPUR - Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 mendapati dana obligasi sosial daripada syarikat konsesi berjumlah RM37 juta pada 2021 belum diterima oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Menurut laporan berkenaan, perkara itu berlaku disebabkan kelemahan pemantauan oleh MAFI terhadap terma perjanjian konsesi dan ketiadaan prosedur kerja yang jelas berkaitan pelaksanaan obligasi sosial yang telah dipersetujui.
Perjanjian konsesi menetapkan Jawatankuasa Pemantauan bertanggungjawab untuk menilai pematuhan syarikat konsesi terhadap terma perjanjian termasuk 10 obligasi sosial yang perlu dilaksanakan antaranya mengurus pembayaran subsidi harga padi.
"Secara keseluruhannya, terdapat kelemahan dalam terimaan dana berbentuk kewangan dan aset serta bayaran Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) di bawah perjanjian konsesi pengurusan industri padi dan beras negara,” menurut LKAN 2021 Siri 2 yang dikeluarkan pada Khamis.
Sementara itu, analisis audit mendapati berlaku pembayaran SSHP berjumlah RM0.73 juta yang tidak teratur kepada pesawah yang meninggal dunia serta pembekalan jentera bernilai RM3.12 juta tidak mematuhi perjanjian konsesi manakala jentera bernilai RM0.87 juta belum digunakan dan telah rosak.
Bagi mengatasi kelemahan itu, audit mengesyorkan kepada MAFI tiga penambahbaikan yang boleh dilaksanakan bagi kelancaran pengurusan terimaan dana berbentuk kewangan dan aset berkenaan.
Antaranya, menubuhkan akaun amanah dengan segera dan mendapatkan dana obligasi sosial selaras dengan perjanjian konsesi bagi memberi manfaat kepada golongan sasar.
Laporan itu turut mengesyorkan supaya penambahbaikan dibuat terhadap prosedur operasi standard bayaran SSHP dan menetapkan mekanisme pemantuan yang lebih berkesan agar pembayaran dilaksanakan dengan teratur.
Selain itu, kementerian perlu memastikan kajian keperluan jentera dilaksanakan dan program penyenggaraan disediakan agar jentera dan mekanisasi padi sentiasa tersedia untuk digunakan oleh pesawah. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!