Hampir hilang nyawa angkara jalan berlubang

Gambar yang tular di media sosial membabitkan seorang warga emas yang cedera akibat terjatuh dipercayai terlanggar lubang di perkampungan Sri Buntar dekat Triang,Bera pada Rabu. Mangsa, Jama Rusly,76 yang cedera selepas motosikal yang ditunggangi terjatuh dipercayai terlanggar lubang di laluan tersebut pada Rabu - Foto: ihsan orang awam
Gambar yang tular di media sosial membabitkan seorang warga emas yang cedera akibat terjatuh dipercayai terlanggar lubang di perkampungan Sri Buntar dekat Triang,Bera pada Rabu. Mangsa, Jama Rusly,76 yang cedera selepas motosikal yang ditunggangi terjatuh dipercayai terlanggar lubang di laluan tersebut pada Rabu - Foto: ihsan orang awam
A
A
A

BERA - Tidak sampai seminggu tragedi hingga meragut nyawa di Temerloh, seorang warga emas nyaris maut selepas jatuh terlanggar lubang di perkampungan Sri Buntar dekat Triang di sini pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, mangsa, Jama Rusly Amin, 76, dari Felda Sungai Kemahal, Bentong cedera di lutut kanan dan calar di muka.

Difahamkan, sewaktu kejadian, orang awam yang berada berdekatan menghubungi ambulans lalu membawa warga emas itu ke Hospital Bera untuk mendapatkan rawatan pesakit luar.

Insiden itu turut tular di media sosial menyebabkan netizen sekali lagi sedih dan berang dengan situasi tersebut.

Anak mangsa, Noradham Jama Rusly,40, memberitahu, bapanya yang juga seorang peneroka sering ke Bandar Triang bersendirian dengan menunggang motosikal.

Menurutnya, pada hari kejadian, ayahnya keluar rumah seawal jam 8 pagi untuk urusan harian membeli barang.

"Boleh dikatakan hampir setiap hari abah ke Bandar Triang sebab lebih dekat berbanding ke Bentong.

"Dan dia pun memang tahu jalan di situ rosak dan selalu berlubang. Cuma semalam (Rabu), dia tak perasan lubang itu bertambah besar.

"Lagi pun, lubang-lubang itu ditutup dengan batu, jadi mungkin abah mungkin tak dapat kawal motosikal sebab faktor usia dia menyebabkan motosikal tergelincir," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Laluan yang telah diturap selepas kejadian melibatkan seorang warga emas pada Rabu.
Laluan yang telah diturap selepas kejadian melibatkan seorang warga emas pada Rabu.

Ujar anak ke-6 daripada sembilan beradik itu, dia mengetahui kejadian tersebut daripada jirannya yang datang ke rumah memaklumkan kemalangan yang menimpa ayahnya.

"Memang terkejut ketika dapat tahu dan tak sangka ayah menjadi mangsa namun bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan serius setakat ini dan telah menjalani pemeriksaan x-ray.

"Keadaan abah buat masa ini memang dalam keadaan terkejut lagi mungkin tak sangka jadi mangsa," tambah dia yang bekerja sendiri di kampung.

Dalam pada itu, Noradham berharap pihak berkaitan mengambil tindakan sewajarnya supaya tiada yang menjadi mangsa seperti ayahnya.

Jelas Noradham lagi, memandangkan keadaan bapanya hanya mengalami kecederaan ringan, dia tidak berhasrat untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang.

"Namun, saya sangat berharap supaya jalan yang rosak ini dapat dibaiki dengan sempurna, demi keselamatan pengguna jalan raya. Bukan sekadar menampal berulang kali.

"Saya sedia maklum, jalan itu telah dibaiki berulang kali tetapi masih berlubang di tempat yang sama. Janganlah sekadar buat, bila berlubang tampal tapi cara kerja tidak berkualiti. Biarlah buat betul-betul," tegas Noradham.

Sementara itu, pihak berwajib telah memulakan kerja-kerja baik pulih pada petang Rabu dan meletakkan kon sebagai peringatan kepada pengguna di laluan tersebut.

Sebelum ini, seorang penolong penyelia pasar raya di Temerloh, Hairul Hafizi Mursid, 34 maut selepas motosikal yang ditunggangi terjatuh dipercayai terlanggar lubang di Jalan Jerantut-Temerloh dekat Kampung Lubuk Kawah pada 10 Februari lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!