Isu pembaziran, ketirisan perbelanjaan negara mampu ditangani

Nik Azman pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2 di Jabatan Audit Negara hari ini. - Foto Bernama
Nik Azman pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2 di Jabatan Audit Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Isu pembaziran dan ketirisan perbelanjaan negara mampu ditangani pada masa hadapan berikutan komitmen yang dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Jemaah Menteri mengambil serius dan meneliti setiap teguran Laporan Ketua Audit Negara 2021.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, ia merupakan mesej jelas kepada setiap kementerian, jabatan dan badan berkanun supaya tidak memandang remeh terhadap laporan audit berkenaan.

Menurut Nik Azman, dalam pertemuan pasukan audit dengan Perdana Menteri pada 17 Jan lepas, Anwar menyatakan tidak akan menyekat kelemahan-kelemahan yang dibangkitkan malah meminta Jemaah Menteri supaya menyemak laporan berkenaan.

"Mesej yang disampaikan oleh Perdana Menteri menjadi perangsang kepada pasukan audit untuk terus melakukan yang terbaik dalam memberi berkhidmat kepada masyarakat dan negara," kata beliau dalam taklimat media berhubung Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2021 Siri 2 di sini hari ini.

Pada 17 Januari lepas, Anwar mengarahkan Jemaah Menteri supaya mengambil serius dan meneliti setiap teguran Laporan Ketua Audit Negara 2021 tentang soal perbelanjaan, ketirisan yang tidak menepati syarat serta peraturan.

Sementara itu, Nik Azman berkata, Sabah dan Selangor masih belum memulangkan baki dana dipinjamkan daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) berjumlah RM145.37 juta bagi tujuan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau berkata, rundingan sedang dijalankan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor bagi tujuan mendapatkan baki peruntukan tersebut, sebelum rundingan sama diadakan dengan Sabah.

Menurutnya, dana tersebut, yang tidak didedahkan jumlah pecahan baki bagi setiap negeri, sepatutnya dipulangkan pada KWAN setelah program PICK tamat pada Oktober 2021.

Selain itu, Nik Azman berkata, hasil laporan audit juga mendapati 93 mesin ventilator di hospital kerajaan yang didapati tidak berfungsi adalah tidak memenuhi standard.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan dalam maklum balas memberitahu mesin berkenaan juga tidak boleh diubah suai kerana dibeli secara ‘off the shelf’ atau sedia ada dan tidak mempunyai jaminan.

Mesin berkenaan juga pernah cuba dibaiki oleh pihak kontraktor namun tidak berjaya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!