Ketua Cabang PKR Beaufort meninggal dunia
KOTA KINABALU - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bahagian Beaufort Muali Acing, 56, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam tadi di Hospital Likas, di sini.
Menurut Ahli Jawatankuasa Cabang PKR Bahagian Beaufort, Razali Jualin ketika dihubungi berkata, Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri selepas terjatuh di kediamannya di Sepanggar, sebelum dibawa ke Hospital Likas.
"Jenazah telah dibawa ke kampung halamannya di Kampung Klias, Beaufort malam ini, dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Klias," katanya.
Razali berkata kali terakhir dia berhubung dengan Allahyarham kira-kira jam 4 petang tadi, sebelum menerima berita pemergiannya malam ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan enam cahaya mata.
Dalam pemilihan ketua cabang PKR tahun lalu, Muali menang dengan undian sebanyak 683 menewaskan Abdul Rahman Yakub dengan majoriti 39 undi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!