KKR, MoF segerakan rundingan sistem bayaran tol terbuka
ALOR GAJAH - Rundingan mengenai sistem bayaran tol terbuka sedang disegerakan antara Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan Kementerian Kewangan (MoF) serta syarikat konsesi berkaitan, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Beliau berkata, projek perintis bagi membolehkan pelaksanaan sistem pelbagai mod bayaran tanpa bergantung kepada satu sistem bayaran tunggal itu juga akan dilaksanakan secepat mungkin bagi mengkaji implikasi pelaksanaannya, sebelum sistem tersebut dapat dimuktamadkan.
Katanya, sistem pelbagai mod bayaran itu merupakan alternatif dikemukakan kementerian, sementara menunggu pelaksanaan sistem kutipan tol tanpa henti (MLFF) yang dijangka bermula 2025 ini.
"Memang kita akan buat secepat mungkin (kerana) kita kena uji sistem itu dahulu bagi melihat adakah ia terbaik sebelum diguna pakai di seluruh negara.
"Perbincangan juga sudah dibuat bersama MoF kerana ia akan melibatkan implikasi kewangan dan selepas semua pihak berpuas hati dengan sistem itu baru akan diputuskan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pengecas Berkelajuan Tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) Electron di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di Kawasan Rehat dan Rawat Ayer Keroh (arah utara) di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan; Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohd Izani Ghani dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Indera Baharin Din.
Alexander berkata, perkara itu juga sedang dipercepatkan agar ia dapat dilaksanakan lebih awal sebelum tempoh sasaran pada 2025 ini.
Menurut beliau, pihaknya kini sedang meneliti isu teknikal dan perundangan yang perlu dilihat serta dikaji sebelum sistem berkenaan dapat digunakan sepenuhnya.
Mengulas mengenai kereta elektrik (EV) pula, Alexander berkata, kerajaan menyasarkan 15 peratus kenderaan tersebut akan digunakan di seluruh negara menjelang 2030 selaras dengan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.
Katanya, antara sasaran lain ditetapkan dalam pelan pembangunan tersebut termasuk mencapai 9,000 poin pengecasan arus ulang alik (AC) dan 1,000 poin pengecasan arus terus (DC) di seluruh negara menjelang 2025, selain memastikan poin pengecasan EV pantas dipasang bagi setiap 100 kilometer di sepanjang lebuh raya utama menjelang 2023-2025. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!