KKR sasar 15 peratus kenderaan elektrik menjelang 2030

Alexander (lima dari kiri) ketika menyempurnakan simbolik pelancaran kemudahan pengecas berkelajuan tinggi untuk kenderaan di R&R Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Ayer Keroh pada Khamis.
Alexander (lima dari kiri) ketika menyempurnakan simbolik pelancaran kemudahan pengecas berkelajuan tinggi untuk kenderaan di R&R Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Ayer Keroh pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Kerja Raya (KKR) menyasarkan penggunaan kenderaan elektrik di negara ini akan meningkat sebanyak 15 peratus menjelang tahun 2030.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sasaran itu selaras dengan usaha untuk merealisasikan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 bagi mencapai pengurangan tenaga serta pelepasan gas rumah hijau (GHG) menjelang 2030.

Menurutnya, setakat ini dianggarkan sebanyak 3,000 hingga 4,000 jumlah kenderaan elektrik berada di lebuh raya.

Katanya, untuk memastikan pelan itu dapat dicapai pelbagai kemudahan akan disediakan termasuk menyediakan sebanyak 22 pengecas pantas kenderaan elektrik DC di beberapa lokasi Hentian Rehat dan Rawat (R&R) lebuh raya negara ini.

"Antara lokasi yang menyediakan pengecasan pantas itu di R&R Ayer Keroh Arah Utara, R&R Tapah Arah Utara dan R&R Paka Arah Utara.

"Selain itu enam lagi sedang dibangunkan di R&R Machap (Arah Selatan), Rawang (Arah Utara), Gunung Semanggol (Arah Selatan), Gurun (Arah Utara dan Selatan) dan Paka (Arah Selatan) yang dijangka siap pada tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan pelancaran kemudahan pengecas berkelajuan tinggi untuk kenderaan di R&R Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Ayer Keroh di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKR, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah, Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir. Mohd Shuhaimi Hassan dan Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohd Izani Ghani.

Tambah beliau, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah mengenal pasti 63 lokasi poin pengecas pantas kenderaan elektrik DC di Kawasan R&R serta Hentian Sebelah yang terpilih di lebuh raya bertol.

Ujar beliau, kementerian juga telah memberi beberapa kelulusan di lebuh raya sekitar Lembah Klang dan terdapat 45 lagi permohonan pembangunan poin pengecas pantas kenderaan elektrik dalam semakan dan bakal diluluskan.

Kata beliau, kementerian turut menyasarkan 20 lagi pengecas pantas kenderaan elektrik DC akan dibangunkan oleh pelbagai Charge Point Operator (CPO) di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) pada tahun ini.

"Ia penting memandangkan lebuh raya ini merupakan tulang belakang yang menghubungkan Singapura ke Thailand," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!