Penghantar makanan rakam wanita mandi didenda RM4,500

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang penghantar makanan mengambil gambar dan video seorang wanita sedang mandi membawa padah apabila dia didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.

Mohd Khalis Rusli, 32, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, pemuda itu didakwa telah mengaibkan kehormatan seseorang wanita berusia 28 tahun, dengan cara mengambil gambar dan video mangsa sedang mandi melalui telefon, di sebuah unit pangsapuri di Jalan Tasik Permaisuri, di sini pada jam 3 pagi, 13 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda, atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, tertuduh pergi ke lokasi berkenaan dan melakukan jenayah itu melalui tingkap bilik mangsa.

Semasa prosiding, pemuda itu merayu agar dikenakan denda pada kadar yang rendah kerana baru sahaja mendapat kerja awal bulan ini, selain perlu menanggung ibu bapa dan adik-beradik.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tindakannya telah mengaibkan mangsa kerana mengambil gambar yang tidak senonoh.

"Mahkamah perlu mengambil kira keselamatan masyarakat selain tertuduh tidak mengulangi kesalahan sama," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!