Taman tema baharu bukan dibiayai kerajaan Perak - Saarani

Saarani. - Foto: Bernama
Saarani. - Foto: Bernama
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri tidak terlibat memberi pembiayaan dalam projek pembangunan taman tema baharu di Tanjung Tualang dekat Batu Gajah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek yang dibangunkan itu dilaksanakan menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) dengan kerjasama beberapa syarikat swasta.

Menurutnya, pembangunan projek berkenaan bagaimanapun dikendalikan Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) sebagai satu produk pelancongan bagi merancakkan ekonomi setempat khusus di sekitar kawasan Kapal Korek Tanjung Tualang no 5 (TT5).

"Mana-mana pihak tidak perlu bimbang kerana projek itu tidak menggunakan mana-mana sumber duit kerajaan negeri atau rakyat.

"Kaedah yang digunakan bagi projek ini adalah secara PFI, tetapi sudah tentulah diuruskan agensi kerajaan oleh MB Inc," katanya dalam sidang akhbar sempena program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Pada Rabu, media melaporkan anak syarikat milik penuh Tafi Industries Bhd, TAFI Home & Office Sdn Bhd dianugerahkan kontrak oleh TT5 Theme Assets Sdn Bhd bagi membina, menguji dan memasang, menyiap dan menyerahkan kerja taman tema di Tanjung Tualang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TAFI, Datuk Seri Bryan Wong dilapor berkata, kontrak RM11 juta itu mempunyai tempoh 18 bulan dari 15 Februari 2023 hingga 14 Ogos 2024.

Projek baharu itu telah menimbulkan pertikaian segelintir rakyat negeri ini di media sosial yang meminta kerajaan Perak mengutamakan kebajikan rakyat berbanding berhabis jutaan ringgit membina taman tema berkenaan.

Mereka turut melahirkan kebimbangan sekiranya taman dibangunkan itu bakal menjadi projek gajah putih sepertimana berlaku kepada Taman Tema Animasi Studio (MAPS) di Meru Raya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata, terdapat beberapa lagi produk pelancongan dibangunkan di kawasan sama melibatkan keluasan hampir 58 hektar dengan nilai pembiayaan mencecah RM35 juta.

Jelasnya, dalam perkara itu, MB Inc berfungsi sebagai tuan tanah yang menjana pendapatan dalam bentuk sewaan dan perkongsian keuntungan.

"Taman tema itu hanya satu elemen kecil dan kos RM11 juta disebutkan hanya untuk kerja-kerja membina sebahagian daripada produk pelancongan di situ.

"Ada beberapa produk pelancongan lain seperti maze garden yang telahpun siap dan mendapat sambutan serta yang dalam perancangan seperti Ipoh escape, obstacle course dan petting zoo.

"Wujudnya idea ini untuk membolehkan kerajaan negeri menjana pendapatan untuk digunakan bagi penyelenggaraan warisan kapal korek yang memerlukan kos amat tinggi," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!