Pengusaha dobi didakwa pecah amanah RM3.24 juta

Terrence Conrad Fernandez (tengah) didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, pada Khamis.
Terrence Conrad Fernandez (tengah) didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Seorang pengusaha kedai dobi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Khamis atas dua pertuduhan pecah amanah dan salah guna harta mesin dobi berjumlah RM3.24 juta.

Terrence Conrad Fernandez,43, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia sebagai individu diamanahkan dengan harta iaitu sejumlah mesin dobi milik Syarikat Prisma Linecare Sdn. Bhd. dianggarkan bernilai RM3,222,089.01, secara tidak jujur menggunakan harta tersebut.

Tindakan itu didakwa dilakukan dengan cara melanggar kontrak iaitu tidak menghantar mesin-mesin berkenaan ke sebuah premis disewa syarikat terbabit di Pulau Pinang, namun meletakkannya di sebuah premis yang disewa tertuduh sendiri di Kuantan, Pahang.

Kesalahan itu dilakukannya di Kilang Eurostar Tractorss (M) Sdn. Bhd di Lot PT Jalan PK 8 Kawasan Perindustrian Krubong di sini, pada Januari 2019.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa secara tidak jujur menggunakan wang RM24,000 milik syarikat sama dengan memasukkannya ke dalam akaun Bank Hong Leong miliknya yang sepatutnya diamanahkan untuk pembayaran sewa premis di Pulau Pinang bagi meletakkan mesin dobi terbabit.

Kesalahan itu dilakukan di Syarikat Prisma Linecare Sdn Bhdbdi Unit 1002, Level 10 Blok A Kelana Centrepoint, Petaling Jaya, Selangor pada 31 Januari 2019.

Pendakwaan bagi kedua-dua kesalahan itu dijalankan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asyraf Anuar Sharuddin tidak mencadangkan sebarang jaminan, namun sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara beliau mencadangkan jaminan RM50,000.

Beliau turut memohon syarat tambahan, bahawa tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan serta menyerahkan pasport antarabangsa untuk disimpan oleh mahkamah sehingga perbicaraan selesai.

Tertuduh yang diwakili Peguam, James S. Thanjong Tuan merayu jaminan rendah dikenakan kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM4,000 sebulan sebagai pengusaha kedai dobi selain perlu menyara keluarga.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 berserta syarat seperti dipohon pihak pendakwaan serta menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 Mac depan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!