Polis siasat penularan video rakaman prosiding bicara Najib

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah membuka siasatan berhubung penularan satu klip video dipercayai daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dimuat naik menerusi laman sosial Facebook.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC Rusdi Mohd Isa berkata siasatan kes dibuat susulan satu laporan polis, di Balai Polis Batu 9, Cheras.

“Siasatan dibuka di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Semalam, video berdurasi dua minit 12 saat bertajuk ‘Hari kelima perbicaraan Datuk Seri Najib’ memaparkan rakaman peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi, tular menerusi media sosial.

Difahamkan rakaman itu dimuat naik menerusi akaun Facebook bekas pegawai khas Najib, Isham Jalil pada tengah hari semalam, dan sudah ditonton lebih 227,000 kali selain dikongsi lebih 3,700 akaun Facebook dan mendapat lebih 1,900 komen.

Rakaman CCTV itu dipercayai sedutan prosiding hari kelima Najib di Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!