Siasatan geologi kenal pasti punca aliran puing di Bentong

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) melalui Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) akan melaksanakan siasatan geologi bagi mengenal pasti punca kejadian aliran puing yang menyebabkan limpahan air berlumpur di Kampung Baru Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.

NRECC dalam kenyataan memaklumkan, satu lawatan kerja telah dijalankan pada Selasa bagi meninjau keadaan semasa di lokasi dan mendapatkan pandangan teknikal awal daripada JMG tentang punca kejadian.

Menurutnya, tinjauan awal mendapati aliran puing yang terjadi terdiri daripada campuran air, tanah dan bongkah batuan yang terhasil berikutan hakisan di bahagian hulu sungai.

“Bongkah batuan ini didapati telah menghalang laluan air masuk ke inlet pembetung di bahagian tepi Jalan Persekutuan FT0068 (Jalan Lama Gombak- Bentong) dan menyebabkan aliran air asal terlencong ke bahagian tepi serta melimpah ke atas jalan.

“Seterusnya, aliran puing menghakis tebing sungai dan mengakibatkan kerosakan jalan serta berlakunya limpahan air dan lumpur di sepanjang aliran di bahagian hilir iaitu Kampung Baru Bukit Tinggi,” katanya pada Khamis.

Lawatan kerja itu diketuai Timbalan Menteri NRECC, Datuk Seri Huang Tiong Sii dengan disertai oleh Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen; ADUN Ketari, Thomas Su Keong Siong dan pegawai-pegawai daripada JMG.

Satu kejadian aliran puing yang menyebabkan limpahan air berlumpur dilaporkan berlaku di Kampung Baru Bukit Tinggi, Bentong, Pahang pada Ahad lalu.

Aliran puing tersebut telah menyebabkan kerosakan infrastruktur jalan dan pembetung bagi Jalan Persekutuan FT0068 termasuk 15 premis perniagaan dan lima rumah di kawasan tersebut.

Dalam kenyataan sama, NRECC turut menyarankan agar agensi-agensi kerajaan, pihak berkepentingan dan pihak berkuasa tempatan mengambil langkah pembaikan dan mitigasi sewajarnya dengan segera.

“Ini bagi mengurangkan risiko kerosakan harta benda dan infrastruktur awam yang berulang.

“Langkah tersebut juga dapat memastikan keselamatan penduduk setempat sentiasa terjamin dan pembangunan dijalankan secara lestari, selaras dengan konsep Malaysia Madani,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!