Dadah RM212,045 dirampas, tiga termasuk suami isteri diberkas

Ismail (tengah) menunjukkan sebahagian wang tunai yang dirampas pada sidang media di IPD Batu Pahat pada Khamis.
Ismail (tengah) menunjukkan sebahagian wang tunai yang dirampas pada sidang media di IPD Batu Pahat pada Khamis.
A
A
A

BATU PAHAT – Polis menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri dan seorang lelaki warga tempatan serta merampas bekalan dadah bernilai RM212,045 hasil dua serbuan yang dilakukan di Taman Utama dan Taman Kota, Yong Peng pada Isnin dan Selasa lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, pasangan suami isteri berusia 45 hingga 50 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Utama di sini pada Isnin.

"Dalam serbuan itu, polis merampas dadah disyaki jenis syabu (methaphetamine) yang dianggarkan seberat 311.45 gram serta pil eramine 5 yang dianggarkan seberat 16.77 gram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis (IPD) Batu Pahat pada Khamis.

Beliau berkata, polis turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 50 tahun di hadapan sebuah rumah kedai di Taman Kota di sini dan merampas dadah dipercayai syabu seberat seberat 1,872.65 gram pada Selasa.

“Tindakan susulan telah dijalankan dan lelaki berkenaan telah membawa ke kediamannya di sebuah rumah kedai di Taman Kota, Yong Peng.

"Hasilnya, polis telah menemui dadah disyaki jenis syabu dianggarkan seberat 4,059.32 gram dan ini menjadikan anggaran berat keseluruhan dadah ini 5,931.97 gram.

“Nilai rampasan dadah yang ditemui dalam serbuan tersebut berjumlah RM212,045 dan dipercayai ia untuk pasaran di sekitar daerah Batu Pahat serta mampu membekalkan bekalan dadah kepada 5,000 hingga 7,600 penagih," katanya.

Beliau berkata, dalam dua siri tangkapan berkenaan, polis merampas dan menyita dua kereta jenis Proton Saga FLX dan Toyota Vios, sebuah motosikal jenis Suzuki serta wang tunai campur-campur berjumlah RM240,000.

"Dianggarkan jumlah keseluruhan sitaan berjumlah RM285,300,” katanya.

Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati dua suspek lelaki positif dadah manakala suspek seorang lagi suspek perempuan negatif.

"Suspek pertama juga didapati mempunyai rekod lampau melibatkan sebanyak 14 kesalahan dadah dan enam rekod kesalahan jenayah manakala suspek ketiga mempunyai enam rekod kesalahan dadah.

"Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai 14 Februari hingga 20 Februari 2023 untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!