Pantau perbelanjaan kerajaan melalui Pantau Laksana
SHAH ALAM - Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) melancarkan laporan bertajuk Pantau Laksana: Assessing Malaysia’s Transparency and Accountability Initiatives in Implementing Emergency Fiscal Responses.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Tricia Yeoh berkata, Pantau Laksana merupakan inisiatif IDEAS untuk menggalakkan orang ramai dan pertubuhan masyarakat sivil lain memantau perbelanjaan kerajaan yang dibiayai oleh belanjawan tahunan biasa atau pakej rangsangan.
Menurutnya, dengan laporan itu, kerajaan diharap dapat menghasilkan pelaporan yang lebih seragam dan telus dalam pelaksanaan programnya.
“Laporan ini turut membincangkan berkenaan sumber dan peruntukan dana, benefisiari serta pelaksanaan sembilan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang dilancarkan sewaktu kemuncak pandemik Covid-19 bermula 27 Februari 2020 hingga 28 Jun 2021.
“Pantau Laksana didorong oleh penggadaian antara tindak balas krisis dan pengawasan yang berlaku semasa kemuncak wabak, yang mana kebanyakan PRE diumumkan oleh kerajaan tanpa pengawasan Parlimen yang mencukupi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Ujar Tricia, untuk merapatkan jurang pengawasan, Kementerian Kewangan telah menubuhkan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bagi menyediakan maklumat terkini secara berkala tentang pelaksanaan inisiatif di bawah PRE.
Jelasnya, melalui Pantau Laksana, IDEAS telah mewujudkan satu set data yang boleh didapati di www.pantauwangkita.com bagi mendapatkan gambaran yang lebih baik tentang PRE.
Tambah beliau, data itu memberikan gambaran keseluruhan tentang jenis impak fiskal, sumber pembiayaan dan jenis benefisiari yang dicapai hasil daripada pelbagai pakej rangsangan.
“Secara keseluruhan, dianggarkan sebanyak RM526.3 bilion dalam nilai program diumumkan melalui sembilan PRE yang diliputi dalam set data, antaranya melibatkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (Prihatin), PRE untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
“Dalam menyusun data daripada ucapan-ucapan PRE, IDEAS mendapati nilai kewangan dalam 96 daripada 291 pengumuman berlainan adalah tidak didedahkan.
“Perbelanjaan kerajaan (24 pengumuman) dan kehilangan hasil (29 pengumuman) membentuk lebih separuh daripada anggaran kesan fiskal yang tidak didedahkan ini. Sumber pembiayaan untuk beberapa program juga tidak dapat dibezakan.
“Sebagai contoh, pengumuman PRE tidak menunjukkan sepenuhnya nilai diskaun terbahagi yang disediakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), subsidi yang diambil daripada dana industri elektrik atau subsidi daripada dana Covid-19 yang diperuntukkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau memberitahu, set data Pantau Laksana mencadangkan kira-kira 35 peratus daripada nilai pakej rangsangan yang diumumkan (RM186.2 bilion) datang daripada kerajaan, manakala selebihnya daripada ekosistem kerajaan seperti badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan, sektor swasta atau campuran daripada mana-mana dua sumber.
Tambah Tricia, perbelanjaan langsung membentuk hampir separuh daripada rangsangan sumber kerajaan (RM96.6 bilion), dengan kategori perbelanjaan terbesar adalah subsidi gaji diikuti dengan bantuan tunai.
“Peruntukan nilai kedua terbesar bagi rangsangan kerajaan adalah dalam kemudahan jaminan pinjaman berjumlah RM75 bilion.
“Sumbangan tunggal terbesar dalam nilai kepada PRE adalah daripada anggaran RM210 bilion yang ditambah pada program moratorium pinjaman, satu langkah kecairan tunai yang tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, kata beliau, set data berkenaan turut merekodkan data pelaksanaan daripada laporan Laksana kerajaan bermula 14 April 2020 hingga 31 Oktober 2021 dengan jumlah laporan sebanyak 73 keseluruhannya.
“Set data ini menunjukkan Laksana hanya melaporkan 86 daripada 201 program dan yang paling banyak dilaporkan adalah sebahagian daripada dana Covid-19.
“Ini menunjukkan tumpuan laporan adalah pada perbelanjaan langsung kerajaan, dengan Program Subsidi Upah paling banyak dilaporkan dalam jangka masa kajian,” ujarnya.
Sementara itu, Pengurus Penyelidikan Unit Kewangan Awam di IDEAS, Alissa Rode berkata, pihaknya memuji usaha kerajaan untuk menyediakan laporan yang kerap mengenai program-program utama PRE.
Bagaimanapun jelas beliau, jurang pendedahan dan format laporan yang tidak konsisten menimbulkan halangan terhadap orang ramai untuk memantau pelaksanaan PRE secara aktif dan seterusnya memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadapnya.
“Walaupun mungkin tidak semua program memerlukan perhatian dan sumber laporan mingguan, penetapan jadual laporan bulanan atau suku tahunan yang selaras untuk program yang kurang kritikal akan memberikan lebih kebolehramalan dan konsistensi dalam tahap maklumat yang diberikan.
"IDEAS mengesyorkan agar kerajaan menyediakan mandat dan sumber digital yang kukuh untuk menginstitusikan pelaporan awam mengenai pelaksanaan program untuk mencapai ketelusan dan konsistensi yang lebih besar dalam pendedahan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!