Lebih 36,100 terbunuh sejak gempa bumi landa Turkiye

Sekurang-kurangnya 36,187 orang terbunuh akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye minggu lepas. - Foto Xinhua
Sekurang-kurangnya 36,187 orang terbunuh akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye minggu lepas. - Foto Xinhua
A
A
A

ANKARA - Sekurang-kurangnya 36,187 orang terbunuh akibat dua gempa bumi kuat yang menggegarkan selatan Turkiye minggu lepas, menurut agensi bencana negara itu pada Khamis.

Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 pada 6 Feb yang berpusat di wilayah Kahramanmaras, menjejaskan lebih 13 juta orang di 11 wilayah termasuk Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kilis, Malatya, Osmaniye, Sanliurfa dan Elazig.

Beberapa negara di rantau ini, termasuk Syria dan Lubnan, turut merasai gegaran kuat yang melanda Türkiye dalam tempoh kurang 10 jam.

Lebih 253,000 anggota mencari dan menyelamat kini berada di lapangan, lapor Anadolu memetik kenyataan agensi pengurusan bencana dan kecemasan Turkiye.

Menurut agensi itu, sekurang-kurangnya 216,347 orang dipindahkan dari kawasan yang dilanda gempa bumi setakat ini.

Pada Khamis, Kementerian Luar Turkiye berkata 7,098 anggota penyelamat asing dari 74 negara kini meneruskan tugasan di lapangan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!