Bongkar operasi 'Team Jorge'

Advanced Impact Media Solutions atau Aims merupakan 'senjata utama' kumpulan tersebut. - Foto Agensi
Advanced Impact Media Solutions atau Aims merupakan 'senjata utama' kumpulan tersebut. - Foto Agensi
A
A
A

TEL AVIV - Sebuah 'kumpulan rahsia' berpusat di Israel didakwa memanipulasi lebih 30 pilihan raya di seluruh dunia dengan menggunakan teknik penggodaman dan maklumat palsu terkini.

Pendedahan itu dibuat siasatan yang dilakukan konsortium wartawan antarabangsa dan turut dilaporkan beberapa rangkaian media utama termasuk The Guardian, Le Monde, ZDF dan Der Spiegel.

Laporan itu mendakwa sebuah pasukan kontraktor dikenali sebagai 'Team Jorge' dikendalikan Tal Hanan, sebuah bekas perkhidmatan rahsia Israel.

"Hasil penyamaran wartawan sebagai bakal klien berjaya membongkar perkhidmatan itu yang boleh digunakan agensi risikan dan syarikat swasta. Operasi mereka meliputi rantau Eropah, Afrika, Amerika Selatan, Amerika Tengah dan Amerika Utara.

"Hanan juga dengan selamba mendedahkan kumpulan mereka berjaya melaksanakan 27 daripada 33 kempen peringkat presiden selain terlibat dua 'projek besar' di Amerika Syarikat (AS), namun bukan berkaitan politik," jelas klip video dikeluarkan The Guardian.

Menurut siasatan itu, 'Team Jorge' mengenakan bayaran antara 6 juta euro (RM28.3 juta) dan 15 juta euro (RM71 juta) untuk campur tangan dalam pilihan raya.

Difahamkan, alat utama digunakan mereka ialah pakej perisian digelar Advanced Impact Media Solutions atau Aims yang dipercayai mengawal kira-kira 30,000 profil palsu di pelbagai platform media sosial. - Agensi

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!