Permintaan hartanah susut kerana harga meningkat
Gambar hiasan.
A
A
A
Menurutnya, Laporan Pasaran Hartanah Malaysia (MPMR) suku pertama 2023 menunjukkan harga hartanah terus meningkat walaupun berlaku penurunan permintaan daripada pembeli.
Laporan itu memaparkan trend menaik dalam Indeks Harga Jualan PropertyGuru Malaysia sebanyak 1.5 peratus suku ke suku berikutan peningkatan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 2.75 peratus tahun lepas, yang menyumbang kepada peningkatan kos keseluruhan pemilikan hartanah.
Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez berkata, walaupun pasaran hartanah menyaksikan aktiviti sihat sepanjang 2022, laporan itu menunjukkan rakyat Malaysia masih terus berhati-hati untuk membuat keputusan pembelian yang besar.
"Peningkatan inflasi dan kos pinjaman lebih tinggi mengurangkan bajet bakal pembeli sekali gus memaksa penjual menaikkan harga bagi menanggung kos pelaburan hartanah yang tinggi.
"Ini mewujudkan fenomena di mana jurang harga di antara kedua-dua pihak terus melebar, seterusnya menyumbang kepada isu mampu milik perumahan yang kami jejaki sepanjang tahun lepas,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Harga permintaan untuk hartanah yang disenaraikan di PropertyGuru.com.my bagi keseluruhan 2022 meningkat 5.0 peratus.
Fernandez berkata, trend meningkat ini dijangka berterusan kerana pembeli rumah sedia ada menaikkan harga hartanah bagi mengimbangi kos keseluruhan pemilikan rumah yang lebih tinggi disebabkan peningkatan kadar faedah.
Menurutnya laporan itu juga mendapati, susulan kenaikan harga hartanah, bakal pembeli rumah beralih kepada pasaran sewa yang menyaksikan Indeks Permintaan Sewa meningkat 32.9 peratus pada 2022.
Bekalan dalam penyenaraian sewa di laman web PropertyGuru menyaksikan peningkatan 19.6 peratus berikutan tuan rumah kembali memasuki pasaran sewa yang mempunyai permintaan positif untuk berdepan inflasi.
Sementara itu, Fernandez berkata, ketika ekonomi Malaysia dijangka tumbuh antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus pada 2023, pasaran hartanah dijangka kekal aktif dengan pertumbuhan positif.
"Bagaimanapun, pemain hartanah masih perlu mempertimbangkan isu kemampuan perumahan semasa dan menjangkakan permintaan sewa menurun pada separuh pertama tahun ini.
"Pada masa sama, ramai rakyat Malaysia sabar menunggu inisiatif bantuan kerajaan pada pembentangan semula Bajet 2023 serta penambahbaikan kadar inflasi sebelum membuat pembelian besar,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!