Dua beranak nyaris dihempap siling rumah
KUALA KRAI - Dua beranak nyaris dihempap siling rumah mereka yang tercabut dalam kejadian di Kampung Pahi, Ahad lalu.
Pada hari kejadian, Che Minah Mat Soud, 48, dan anak bongsunya, Muhammad Aiman Mukhriz Saudin, 8, tidur di ruang tamu rumah.
Bagaimanapun katanya, sekitar jam 6 pagi dia terjaga tetapi masih berada di tempat tidurnya.
"Secara tiba-tiba kedengaran bunyi kuat dari bumbung, diikuti siling jatuh menghempap wayar elektrik dan lampu.
"Saya yang masih di tempat tidur hanya mampu melihat kejadian itu dan selepas itu baru beredar untuk menunaikan solat Subuh," katanya yang masih terkejut dengan kejadian tersebut.
Che Minah yang kematian suami Februari tahun lalu meluahkan rasa syukur kerana tidak berlaku kejadian tidak diingini.
"Kami bernasib baik siling tersangkut pada lampu dan wayar elektrik, jika tidak pasti siling tersebut jatuh ke atas kami memandangkan kedudukannya pada tempat kami berada.
"Siling berkenaan berat, kalau jatuh menimpa kami, saya tidak tahu apa akan berlaku," katanya yang belum menggantikan siling baharu kerana masalah kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!