Malaysia akan bantu Turkiye dalam banyak kapasiti - PM
Anwar dalam temu bual eksklusif dengan TRT World yang dimuat naik di YouTube semalam berkata, Malaysia akan menawarkan lebih banyak bantuan selepas perbincangan beliau dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.
"Kami (Malaysia) telah menghantar tiga pasukan setakat ini. Saya telah berbincang dengan Presiden bahawa banyak lagi yang akan kami lakukan walaupun Turkiye sudah mempunyai kapasiti yang besar dari segi sumber dan kemudahan.
"Kami perlu dan akan terus mengumpul lebih banyak dana dan sokongan serta bantuan. Bersama penduduk Islam dan bukan Islam di Malaysia yang komited untuk membantu, saya yakin ia akan memudahkan kami untuk menyumbang dan membantu lebih banyak lagi,” katanya ketika ditemu bual wartawan TRT World Andrew Hopkins. sempena lawatan seharinya ke Turkiye.
Perdana Menteri berkata, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia yang ditempatkan di Nurdagi - telah menunjukkan pengorbanan dan keupayaan luar biasa yang boleh diganggakan.
Anwar tiba di tanah air pada Khamis selepas mengadakan lawatan sehari ke Turkiye bagi memberikan sokongan kepada pasukan penyelamat serta menzahirkan komitmen Malaysia untuk membantu rakyat negara itu yang terkesan dengan malapetaka gempa bumi.
Beliau melawat Ground Zero (kawasan bencana) dan menyifatkan kemusnahan akibat gempa bumi itu "amat dahsyat dan di luar jangkaan."
Anwar juga bertemu Erdogan di Ankara untuk menyampaikan ucapan takziah Malaysia.
"Saya terpanggil untuk mengucapkan terima kasih secara peribadi kepada petugas dan penyelamat. Saya perlu menyatakan simpati dan sokongan saya kepada Presiden dan rakyat Turkiye.
"Rakyat di Malaysia tidak putus-putus mengucapkan simpati dan rasa sedih dan apabila kami mula mengumpul dana untuk bencana itu, kami sebagai sebuah negara kecil dan membangun secara relatifnya, berjaya memperoleh AS$10 juta hanya dalam tempoh beberapa hari sahaja. Ini sangat luar biasa.
"Selain itu, setiap kali Malaysia mengalami kesukaran, Turkiye menjadi antara banyak negara yang menawarkan bantuan dan memainkan peranannya. Negara ini mempunyai hubungan istimewa dengan Malaysia secara keseluruhan dan dengan saya secara peribadi. Sejak saya memegang jawatan, saya ingin meningkatkan hubungan dua hala yang dikongsi bersama ini,” kata Anwar.
Hari ini, Anwar telah memberi persetujuan supaya pasukan SMART yang sepatutnya berada hanya dua minggu di sana (Turkiye) untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan mereka atas permintaan Erdogan.
Gempa bumi bermagnitud 7.7 dan 7.6 yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada 6 Feb telah membunuh sekurang-kurangnya 36,187 orang dan mencederakan lebih 100,000 di Turkiye manakala di Syria sekurang-kurangnya 5,329 orang maut dan 14,500 yang lain cedera. - Bernama
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!