Hari tanpa media sosial

A
A
A

AKTIVITI atau rutin kehidupan kita masa kini amat berbeza jika dibandingkan 10 atau 20 tahun lalu. Kadang-kadang kita rindu dan dambakan saat-saat manis zaman kanak-kanak yang kreatif.

Tarik upih, main getah, congkak, galah panjang, panjat-memanjat segala pokok, godak kolam atau sungai menjadi budak kampung. Momen yang cukup manis, sekampung kita kenal kerana kita bertegur sapa, bersembang dan bermesyuarah.

Namun, kehadiran media sosial kini merubah segalanya. Kanak-kanak sekarang sama ada di kampung atau bandar lebih hidup 'sendiri'. Media sosial menjadi teman, pengiring dan penyeri kehidupan - merubah cara kita bertingkah laku, berfikir dan bertindak.

Kita semakin kurang berinteraksi dan bersembang secara semuka. Kalau ada pun dalam ruang sekolah, tempat kerja atau tempat awam tertentu. Seolah-olah kita terikat dan bergantung kepada media sosial sehingga ke tempat ibadah pun masih mengintai-intai gajet dan telefon bimbit.

Ibu bapa muda sekarang menggunakan media sosial dengan memberikan anak-anak mereka telefon bimbit untuk menenangkan keadaan. Jika anak menangis maka pemujuknya ialah telefon bimbit.

Di meja makan restoran, anak-anak akan diberikan telefon bimbit agar duduk diam dan tidak buat kerenah.

Maka sesi makan-makan di luar dilihat lebih kepada ruang memegang gajet, kurang bersembang dan tidak terlihat kemesraan. Maka di mana sebenarnya komunikasi keluarga?

Media sosial memang bermanfaat untuk menghubungkan dan menyebarluaskan maklumat dengan lebih cepat. Namun, sekiranya digunakan secara berlebihan ia mampu mempengaruhi kesihatan mental kita.

Artikel Berkaitan:

Penyelidikan oleh American National Institute for Mental Health mendapati, tingkat depresi akan bertambah dengan jumlah keseluruhan waktu yang dihabiskan untuk menggunakan media sosial.

Jumlah kunjungan ke media sosial per minggu pula menunjukkan bahawa kita lebih berinteraksi dengan medium tersebut berbanding bersembang atau berbual sesama rakan, keluarga atau individu lainnya.

Kajian menunjukkan lebih 10 jam pengguna tegar menumpukan perhatian terhadap media sosial berbanding perhatian lain. Secara keseluruhannya manusia masa kini menghabiskan masa enam hingga lapan jam sehari menghadap media sosial.

Pemerhatian kajian tersebut menunjukkan, semakin sering kita menghabiskan waktu di media sosial, semakin besar pula kemungkinan mereka cemburu dan iri hati dengan kejayaan atau kebahagiaan daripada apa yang mereka lihat di media sosial.

Kita akan membandingkan dengan apa yang kita lihat, dengar dan rasa. Kita sering inginkan apa yang orang lain peroleh.

Malah terfikir untuk meniru dan mengikut gaya, fesyen dan cara beraksi seseorang yang kita minati, terutamanya artis atau selebriti. Hasilnya, mereka yang sebegini mulai menyalahkan serta kurang percaya kepada diri sendiri.

Sering merungut dan mulai menyalahkan orang lain kerana kekurangan atau kegagalan yang dialaminya.

Keadaan tersebut membuatkan mereka yang ketagihan media sosial sering kecewa dan menyesal dalam menjalani kehidupan.

Maka sudah sampai masanya kita perlukan 'hari bertenang' tanpa menggunakan atau bergantung kepada media sosial. Mungkin dalam seminggu, sebulan atau sehari?

Walaupun penggunaan teknologi menjadi sangat penting pada masa kini, manusia tetap memerlukan rakan untuk berinteraksi. Cuba kita lakukan satu hari tanpa media sosial.

Kita sebenarnya berusaha untuk menjadi lebih alami dan menghayati kehidupan semula jadi.

Kita masih lagi memerlukan senyuman, melihat wajah penutur dan membaca bahasa badan semasa kita bersembang atau berbual dengan seseorang.

* Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!