Nilai ringgit naik 10 peratus berbanding dolar

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aliran susut nilai ringgit berubah arah dan meningkat sebanyak 10 peratus kepada RM4.2983 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dari 1 November 2022 hingga 8 Februari 2023, menurut Kementerian Kewangan.

Ia berkata, ini disebabkan jangkaan kenaikan kadar dasar yang lebih perlahan di AS sejak November 2022 dan menyebabkan sentimen risiko pelabur global bertambah baik.

"Ringgit juga lebih kukuh berbanding dengan mata wang beberapa rakan perdagangan utama Malaysia, dicerminkan melalui kadar pertukaran efektif ringgit secara nominal (NEER) yang meningkat sebanyak 3.2 peratus dalam tempoh sama,” katanya dalam pemberitahuan pertanyaan lisan Pang Hok Liong (PH-Labis) di persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Kementerian itu berkata, perlu dijelaskan bahawa rejim kadar pertukaran yang fleksibel telah membantu Malaysia menghadapi kejutan besar berikutan pengukuhan ketara dolar AS pada tahun 2022.

"Ekonomi negara kekal stabil dengan perkembangan tahunan yang pesat pada kadar 8.7 peratus (2021: 3.1 peratus).

"Keadaan inflasi masih terkawal walaupun berada pada paras yang tinggi, dan tidak berlaku sebarang ketidakseimbangan yang besar dalam negara, meskipun berhadapan kejutan luaran yang besar ini,” katanya.

Kementerian Kewangan berkata, pendekatan Bank Negara Malaysia bertumpu kepada memastikan pelarasan ringgit dalam keadaan teratur, justeru membantu perniagaan merancang dan melaksanakan keputusan perbelanjaan dan pelaburan dengan baik.

Risiko daripada penurunan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dikurangkan oleh penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar yang berhati-hati dan kedalaman pasaran mata wang dalam negeri yang tinggi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!