'Perbetulkan kompas pendidikan negara'

Saifuddin
Saifuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kompas pendidikan negara perlu diperbetulkan dengan memberi tumpuan terhadap pelajar itu sendiri seterusnya mengembalikan kecemerlangan pendidikan yang mempunyai roh.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, sistem pendidikan negara adakalanya tersasar.

Justeru menurutnya, Malaysia mesti mengamalkan pendekatan Penghakupayaan Pelajar dalam seluruh proses pendidikan, termasuk dalam governans institusi pendidikan.

"Tumpuan utama ialah pelajar, ilmuwan dan pakar-pakar bidang. Adakalanya kita tersasar. Kita asyik berdebat tentang pendidikan tetapi bukannya tentang tumpuan utama, iaitu pelajar.

"Tumpuan seterusnya ialah guru-guru, pensyarah-pensyarah, dan pakar-pakar. Kita harus ingat bahawa yang dinamakan sekolah dan universiti itu bukannya bangunan-bangunannya, tetapi adalah komuniti pendidikan, iaitu interaksi intensif antara guru atau pensyarah dan pelajar-pelajar.

"Kembalikan dan bantulah para guru dan pensyarah menjalankan tugasnya yang hakiki, iaitu mengajar, bukannya menjadi kerani atau pak pacak di pagar sekolah.

"Libatkanlah wakil kesatuan-kesatuan guru dan pensyarah dalam proses membuat keputusan," katanya ketika perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan melihat dunia pendidikan dengan pandangan sarwa pendidikan, bukannya daripada pandangan sarwa bidang lain seperti bidang pengurusan.

"Contohnya mendalam, pendidikan dinilai (evaluation) bukannya diukur (measurement). Neraca penilaiannya mestilah neraca ilmu dan tamadun, bukannya neraca pentadbiran dan birokrasi.

"Kita perlu memastikan yang pendidikan tidak terikut-ikut dengan pengaruh politik atau kerajaan ataupun perniagaan. Sebaliknya, dunia pendidikan yang seharusnya memimpin yang lain-lain," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!