Konflik dan sengketa akan merugikan kita semua

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MERAK Jalanan risau apabila sejak akhir-akhir ini berlaku beberapa insiden yang menyentuh isu perkauman dan sensitiviti agama.

Ini menunjukkan perpaduan antara rakyat di negara ini masih berdepan cabaran dan penuh liku.

Masih banyak perlu dilakukan untuk memastikan semua rakyat majmuk yang bernaung di bawah bendera Malaysia bersatu hati.

Natijahnya, Malaysia boleh dianggap sebagai negara yang masih muda kerana kita mencapai kemerdekaan 66 tahun lalu.

Jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat iaitu sebuah negara yang sudah berusia 247 tahun, mereka juga berhadapan masalah perkauman yang masih menebal.

Contohnya, golongan berkulit putih yang digelar sebagai White Supremacy menganggap mereka lebih tinggi berbanding kaum-kaum lain amat ketara ketika zaman pentadbiran Donald Trump.

Mungkin negara Indonesia sudah lebih awal melihat isu perbezaan kaum dan agama akan menjadi masalah besar untuk mereka.

Justeru, mereka membentuk satu dasar dikenali sebagai Bhinneka Tunggal Ika atau perpaduan dalam kepelbagaian.

Ia merupakan satu moto atau dasar yang menyatakan bahawa rakyat Indonesia itu pelbagai, namun mereka sebenarnya adalah satu dan ia diperkukuh dan diperkuatkan lagi dengan falsafah Pancasila.

Di Malaysia, kita berpegang teguh kepada Perlembagaan dan Rukun Negara yang menjadi tunjang utama kepada pembentukan Malaysia. Jadi setiap rakyat di negara ini berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang telah digariskan.

Merak Jalanan berharap, dengan cabaran masa akan datang, sudah sampai masa Kerajaan Perpaduan mengambil peluang ini membentuk satu akta yang dapat menyatukan kita semua.

Sengketa antara rakyat perlu dibuang jauh-jauh kerana Malaysia sebuah negara yang kecil dan sebarang konflik tidak akan menguntungkan kita semua.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!