Sengsara lima keluarga dapat perhatian

Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai lima keluarga yang terpaksa tinggal dalam khemah selepas tujuh bulan rumah mereka terbakar.
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai lima keluarga yang terpaksa tinggal dalam khemah selepas tujuh bulan rumah mereka terbakar.
A
A
A

KOTA BHARU - Kesengsaraan lima keluarga mangsa kebakaran di Kampung Bunut Payong di sini mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersedia membantu menyiapkan kediaman mereka.

Ketua Biro Kebajikan Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) Nozlyhairani Suhana Mohamed berkata, NGO itu sudah berbincang dengan keluarga berkenaan.

Beliau memberitahu, bagaimanapun kediaman itu mungkin tidak dapat disiapkan dalam tempoh terdekat kerana ada beberapa perkara yang perlu diselesaikan termasuk pelan dan kontraktor.

"Kami dimaklumkan pihak NGO itu bahawa mereka sedang menyediakan barangan pembinaan dan keperluan lain supaya rumah dapat disiapkan dengan lancar," katanya.

Nozlyhairani Suhana memberitahu, ada ahli keluarga itu yang memerlukan peralatan kemahiran untuk mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan dan memulakan simpanan.

"Sebenarnya ada yang memang menjahit dan bekerja dalam bidang kimpalan tetapi kesemua peralatan mereka hangus menyebabkan tiada sumber pendapatan," katanya pada Khamis.

Sementara itu, mangsa, Noriza Kadir, 51, mengakui lega selepas dimaklumkan ada NGO yang prihatin dengan nasib keluarga itu.

Menurutnya, harapan mereka sekeluarga untuk tinggal di rumah yang lebih selesa akan tercapai.

"Walaupun mungkin tidak dapat berpuasa dalam rumah yang sempurna tetapi sekurang-kurangnya membantu kami menjalani rutin harian lebih selesa selepas ini," katanya.

Noriza juga bersyukur kerana ibu bapa mertuanya akan duduk di rumah lebih besar dan tidak perlu bimbang hujan atau berkuap kepanasan selepas ini.

"Kami juga tidak perlu berhimpit dalam khemah kecil lagi, insya-ALLAH," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan kebakaran lebih tujuh bulan lalu mengakibatkan lima keluarga terpaksa tinggal dalam bangsal dan khemah yang dibina sendiri.

Lebih menyedihkan apabila 30 ahli keluarga berkenaan menumpang di atas tanah penduduk dan berkongsi satu bilik air kira-kira 50 meter dari khemah mereka.

Keluarga itu ada membina tapak untuk membuat rumah tetapi gagal disiapkan kerana dana tidak mencukupi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!