Kerajaan cakna kes perangkap perhambaan moden di negara jiran
PENUBUHAN jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi membanteras sindiket penipuan kerja di luar negara mendapat perhatian daripada Kementerian Luar Negeri dan agensi kerajaan yang lain.
Pada Khamis, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, penubuhan jawatankuasa tersebut akan diketuai olehnya dan Wisma Putra serta disokong oleh agensi kerajaan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Peguam Negara serta beberapa agensi berkaitan.
Tindakan pihak kerajaan bagi membanteras sindiket tersebut mampu menyelamatkan lebih ramai rakyat Malaysia daripada tertipu dengan bentuk perhambaan moden di negara jiran.
Sementara itu, Exco Hal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang berkata, beliau sedia memberi kerjasama bagi menyelamatkan 1,000 orang rakyat Malaysia yang masih ditawan oleh sindiket penipuan ini.
Ujarnya, penubuhan jawatankuasa khas bagi menangani masalah ini merupakan langkah yang terbaik bagi menyelamatkan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sekaligus dapat membanteras jenayah perhambaan moden.
Jelas bahawa pihak kerajaan perlu menangani isu ini dengan kadar segera memandangkan sindiket ini memperdaya golongan muda yang menjadi aset dan tunjang kepada negara.
Tindakan mitigasi oleh pihak kerajaan selepas pendedahan yang dibuat tentang sindiket ini, wajar dilakukan agar tiada rakyat Malaysia yang terperangkap dengan tipu helah wang lumayan.
Modus operandi yang dibuat oleh sindiket ini hampir berjaya memperdaya golongan muda dengan janji manis ibarat menanam tebu di tepi bibir.
Walaupun begitu, kerajaan harus mencari penyelesaian agar masyarakat muda tidak menjadi mangsa sindiket penipuan ini memandangkan hampir setiap negara sedang cuba memulihkan keadaan ekonomi masing-masing selepas pasca pandemik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!