Gempa bumi Turkiye: Mangsa kongsi kisah sayu
GAZIANTEP, TUKRIYE - Rifat Setinkaya, 63, seorang pesara, seperti biasa sedang menghirup teh sebelum tidur Ahad lepas langsung tidak menyangka yang beliau akan dikejutkan dengan gegaran gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda Nurdagi awal pagi Isnin.
Lelaki warga emas yang tinggal di tingkat satu pangsapuri tujuh tingkat itu benar-benar amat bernasib baik apabila sempat keluar dari bangunan itu untuk menyelamatkan diri, namun abang dan kakaknya yang tinggal di pangsapuri berhampiran, tidak sempat berbuat demikian.
Pangsapuri yang didiami Rifat berjaya menahan gegaran, namun bangunan yang didiami oleh dua saudaranya itu terus runtuh, dan mayat mereka sehingga kini belum ditemukan.
Wartawan Bernama di lokasi sempat melihat sendiri dan merakam imej wajah sayu warga emas itu yang sedang duduk di hadapan bangunan runtuh, berhampiran dengan api unggun untuk memanaskan badannya.
Dengan bantuan penterjemah tempatan Arif Akdag, penulis mula bertanyakan soalan untuk mendengar sendiri kisah sedih yang menimpa warga emas itu, yang merupakan salah seorang daripada mangsa kejadian bencana alam di negara berkenaan awal minggu ini, yang sehingga kini dilaporkan telah mengorbankan puluhan ribu nyawa.
Pada mulanya beliau teragak-agak untuk menjawab soalan penulis, tetapi apabila Arif perlahan-lahan memujuk, beliau mula membuka mulut.
"Abang dan kakak saya tinggal di sini, saya mahu mereka ditemukan, hidup atau mati sekalipun," katanya.
Rifat yang menetap di Nurdagi sepanjang hayatnya berkata, gempa bumi awal Isnin adalah yang paling kuat dalam tempoh 100 tahun.
"Datuk saya pernah bercerita tentang gempa bumi kuat semasa saya kecil, tidak pernah terlintas di fikiran saya akan mengalaminya,” katanya.
Beliau berkata, ketika awal gegaran mulai dirasakan, beliau segera bangun, dan bersama isteri serta anaknya, mereka bergegas keluar untuk menyelamatkan diri, dan ketika itulah anaknya yang berusia 30 tahun itu terjatuh menyebabkan kaki kanannya tercedera.
"Selepas keadaan semakin reda, saya pergi ke rumah abang saya kira-kira 200 meter dari sini dan melihat bangunan penginapannya sudah menyembah bumi, debu-debu berterbangan memenuhi ruang udara kawasan itu, seperti salji di bulan Disember," katanya.
Sehingga berita ditulis hari ini, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Malaysia telah membawa keluar sekitar 20 mayat dari kawasan yang terletak hanya kira-kira dua kilometer dari Stadium Nurdagi itu, namun mayat abang dan kakak Rifat masih belum ditemukan.
Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter melanda selatan Turki dan barat laut Syria Isnin lalu, meragut puluhan ribu nyawa.
Gegaran susulan turut dirasai di Cyprus dan Lubnan. Turkiye telah mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adıyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa, bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.
Sumbangan untuk Tabung #BantuanBencana Sinar Karangkraf x Syria Care boleh dibuat melalui pautan ini: https://info.sinarharian.com.my/tabung-bantuanbencana-sinar-karangkraf-x-syria-care/
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!