'Menu Rahmah perlu sistem sokongan untuk bertahan lama'
KUALA LUMPUR - Persatuan peniaga berharap kerajaan dapat tampil dengan sistem sokongan yang kuat untuk memastikan pelaksanaan inisiatif Menu Rahmah bertahan lama dan berterusan dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam.
Presiden Persatuan Usahawan Food Truck Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KLFTEA), Muhammad Azlan Abas berkata, susulan kenaikan harga barangan ketika ini, sistem sokongan yang kuat seperti kerjasama menyeluruh pelbagai agensi diperlukan dalam membantu peniaga atau penjaja.
"Contohnya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) atau koperasi boleh bekerjasama dengan mana-mana persatuan terlibat untuk pukalkan harga barangan.
"Mungkin dengan kaedah ini, inisiatif Menu Rahmah itu akan ada kesinambungannya," katanya kepada Bernama.
Menurutnya ramai peniaga dan penjaja menyokong inisiatif kerajaan itu kerana ia memberi manfaat kepada rakyat, namun pelaksanaannya perlu disusuli dengan satu ekosistem yang lengkap agar perniagaan terus berjaya.
"Menu dah cantik, boleh buat, namun jika lokasi perniagaan tidak strategik, susah juga," katanya dan menambah sebelum ini, peniaga kendera saji juga pernah melaksanakan program Menu Rakyat 1Malaysia (MR1M) pada era pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak sekitar tahun 2011.
Bagi Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman pula, walaupun peniaga dan penjaja ini mempunyai jiwa murni untuk membantu golongan memerlukan seperti disarankan kerajaan, namun mereka perlu juga memikirkan soal keuntungan dan kelangsungan hidup.
"...apatah lagi dalam situasi hari ni dengan barang mentah yang dibekalkan kepada peniaga atau penjaja mengalami kenaikan hingga 100 peratus.
"Kita lihat sayur saja... contohnya, tomato 200 gram dengan harga RM2, harga naik melonjak, jadi bagaimana cara kita nak maintain Menu Rahmah ini," katanya.
Menu Rahmah yang dilancarkan sejak 31 Januari lepas merupakan hidangan tengah hari atau makan malam yang seimbang seperti nasi, satu pilihan protein sama ada ayam atau ikan dan sayuran dengan tawaran harga bernilai RM5 dan ke bawah.
Inisiatif Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk menangani kenaikan kos sara hidup itu boleh didapati di lebih 15,000 kedai makan dan restoran di seluruh negara. - Bernama
Berita berkaitan Menu Rahmah di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!