10,125 bungkus racun SGE tidak berdaftar dirampas

Zahimi (tengah) menunjukkan racun yang dirampas dalam serbuan di Kampung Gajah, Perak.
Zahimi (tengah) menunjukkan racun yang dirampas dalam serbuan di Kampung Gajah, Perak.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 10,125 bungkusan racun siput gondang emas (SGE) yang tidak berdaftar bernilai RM50,625 dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Gajah, Perak awal bulan ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pertanian, Datuk Zahimi Hassan berkata, ketika serbuan yang dilakukan pasukan Penguatkuasaan Lembaga Racun Makhluk Perosak (LRMP) pada 1 Februari lalu, terdapat beberapa pelanggan dan dua pekerja berada di dalam premis terbabit.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan sebanyak 81 kotak yang di dalamnya mengandungi 125 paket 40 gram racun siput.

"Siasatan mendapati racun yang diseludup daripada China itu dijual secara fizikal dan dalam talian pada harga RM5 sepeket.

"Racun ini mengandungi perawis aktif fentin acetate yang telah diharamkan penggunaannya di negara ini," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, fentin acetate merupakan sejenis racun perosak kimia daripada kumpulan organotin yang mula diperkenalkan pada tahun 1954 dan digunakan sebagai racun kulat serta racun serangga dan diklasifikasikani sangat berbahaya kepada alam sekitar terutamanya kepada hidupan akuatik.

"Sekarang kami dalam proses menyiapkan kertas siasatan bagi kes ini dan pemilik premis akan didakwa mengikut Seksyen 20(3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974," jelasnya.

Tambah beliau, kawalan sedia ada bagi SGE adalah dengan menggunakan racun makhluk perosak berdaftar yang mengandungi perawis aktif seperti metaldehyde, niclosamide dan niclosamide-olamine.

"Pada masa ini, terdapat sebanyak 22 produk racun siput berdaftar dan telah dinilai dari segi kualiti serta keberkesanan yang boleh digunakan oleh petani," katanya.

Ditanya mengenai langkah-langkah penguatkuasaan yang diambil bagi membendung kemasukan dan penjualan racun tidak berdaftar, Zahimi berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan secara berskala di seluruh negara selain melakukan sesi libat urus dengan para petani di ladang-ladang bagi memaklumkan mengenai racun perosak,.

Beliau berkata, jabatan itu turut bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang bagi membanteras penjualan racun perosak secara dalam talian.

"Sebenarnya, racun perosak ini tidak boleh dijual sewenang-wenangnya kerana ia perlu mematuhi syarat-syarat ditetapkan.

"Apatah lagi jika ia merupakan produk yang tidak didaftarkan, jadi dengan kerjasama ini, penyedia perkhidmatan e-dagang ini akan menurunkan iklan-iklan berkaitan penjualan racun perosak," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!