Pasangan warga Indonesia terlibat kes pecah kereta diberkas

No Image Caption
A
A
A

SEREMBAN - Kegiatan pecah kereta di daerah ini yang didalangi pasangan warga Indonesia tumpas apabila mereka ditahan polis pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, suspek lelaki dan wanita itu ditahan jam 1 pagi dalam Op Pecah Kereta.

"Tangkapan ke atas suspek dilakukan selepas disyaki terlibat dalam kes yang disiasat di Jalan Reko, Kajang Selangor.

"Ketika ditahan, suspek telah menunjukkan barang-barang yang dicuri seperti jam tangan dan komputer riba," katanya dalam kenyataan kepada media pada Jumaat.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati pasangan berkenaan terlibat dalam tujuh kes pecah kereta di sekitar daerah ini tahun ini.

Ujarnya, suspek akan bertindak memecah cermin kereta dengan menggunakan alatan tajam yang diletakkan di kawasan sunyi.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah sehingga Isnin depan.

"Kes disiasat bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!