Tun M persoal penyelesaian tuntutan pampasan Apandi dirahsiakan

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan merahsiakan penyelesaian tuntutan Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadapnya dan kerajaan berhubung penamatan kontrak sebagai Peguam Negara (AG).

Menurutnya, tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said itu mengelirukan dan menyifatkan Apandi tidak layak mendapat pampasan.

“Saya keliru dengan keputusan menteri (Azalina) untuk merahsiakan penyelesaian tuntutan Apandi. Apandi (yang juga) bekas AG kerajaan (Datuk Seri) Najib Tun Razak, membuat tuntutannya secara terbuka.

“Malah, beliau menamakan jumlah itu sebanyak RM2,233,599.36. Namun pampasan yang dibuat oleh kerajaan adalah rahsia. Kenapa?

“Saya mempunyai sebab untuk mengetahui sebabnya kerana saya tidak fikir dia layak mendapat pampasan sama sekali,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Azalina pada Rabu lalu memaklumkan, terma-terma penyelesaian berhubung kes saman Apandi terhadap Dr Mahathir dan kerajaan berhubung penamatan kontraknya sebagai AG, dikelaskan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Jelasnya, kes sivil itu telah diselesaikan di luar mahkamah atas persetujuan kerajaan tanpa sebarang pengakuan liabiliti.

Pada 13 April 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman itu selepas kerajaan bersetuju untuk menyelesaikan kes tersebut tanpa sebarang pengakuan liabiliti dan terma-terma penyelesaian tidak boleh didedahkan.

Pada 13 Oktober 2020, Mohamed Apandi memfailkan saman menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan penamatan kontraknya sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas perdana menteri itu pada 2018 sebagai tidak sah.

Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015 memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am dan teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!