Harumaini boleh ambil tindakan jika rasa teraniaya - Amirudin
SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar boleh mengambil tindakan susulan jika rasa teraniaya dengan keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim yang mengumumkan kekosongan kerusi DUN Batang Kali.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keputusan Suee Lim dibuat selepas meneliti Enakmen Undang-undang Tubuh Negeri Selangor 1959 dan segala peraturan ditetapkan.
"Saya sudah bertanyakan kepada Speaker DUN, beliau beranggapan wakil tersebut (Harumaini) tidak memaklumkan secara munasabah ketidakhadiran beliau selama enam bulan berturut-turut.
"Perkara tersebut ada dalam enakmen dan peraturan dewan. Jadi kita ikut undang-undang dan peraturan," katanya mengulas berhubung keputusan keputusan Suee Lim mengisytiharkan kerusi bagi kawasan DUN Batang Kali kosong.
Amirudin ditemui ketika Majlis Pecah Tanah Rumah Idaman Kwasa Damansara pada Jumaat.
Ditanya sama ada Harumaini boleh mengemukakan rayuan, beliau menjelaskan keputusan tersebut adalah muktamad, namun wakil rakyat itu menggunakan saluran mahkamah bagi mempertahankan jawatan tersebut.
"Kita cuma menjalankan tugas, beliau gagal memaklumkan secara munasabah. Jika sakit perlu kemuka MC (cuti sakit), jika ada tugasan luar negara juga perlu bagi bukti.
"Itu pun masih perlu hadir (Sidang DUN) kerana itu merupakan satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan kerana berfungsi sebagai penggubal undang-undang negeri seperti dibahaskan di DUN Selangor," katanya.
Suee Lim pada sidang akhbar yang diadakan pada Khamis di Bangunan DUN Selangor menjelaskan, keputusan isytihar kekosongan kerusi DUN Batang Kali dibuat Harumaini gagal menghadirkan diri dalam persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis.
Berdasarkan data pada penyata rasmi dan buku kedatangan, ADUN terbabit tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan persidangan DUN dari 23 hingga 30 November 2022, 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.
Suee Lim juga akan menghantar makluman pengisytiharan kekosongan kerusi itu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya dalam masa terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!