Yeop tumbang di Ipoh
PERAK terpaksa akur tewas di gelanggang sendiri apabila ditundukkan Pahang 0-1 di Stadium Perak, di sini, malam tadi.
Biarpun Pahang beraksi dengan 10 pemain, pasukan kendalian Mehmed Durakovic itu gagal memanfaatkan peluang untuk mencipta jaringan.
Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan saling mengatur serangan namun kubu pertahanan mereka berjaya menyerap tekanan.
Peluang Perak hadir pada minit ke-3, namun tendangan Brendan Gan terkena terkena pemain pahang.
Beberapa percubaan juga dilakukan pemain Pahang namun penjang gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim berjaya menafikan peluang lawan.
Keadaan sedikit cemas di hadapan pintu gol Perak apabila cubaan Muhammad Safuwan Baharudin menggegar palang gol pada minit ke-23.
Selang seminit selepas itu, pemain Perak, Amirul Azhan dilayangkan kad kuning pertama perlawanan.
Perak kembali mengatur gerak pada minit ke-29 namun percubaan Muhammad Shahrel Fikri tersasar.
Safuwan Baharudin menjadi pemain pertama Pahang yang dilayangkan kad kuning pada minit ke-39 kerana mengasari J Partiban.
Ketika tambahan masa 2 minit diberikan sebelum tamat perlawanan, satu-satunya pemain import Perak, Wander Luis dikeluarkan dan diganti dengan Firdaus Sayadi.
Pada separuh masa kedua, Perak hanya menggunakan khidmat pemain tempatan.
Kepercayaan Durakovic digunakan sepenuhnya pemain mengasak ke kubu lawan.
Perak memperoleh peluang terbaik pada minit ke-50 apabila Muhammad Shahrel Fikri berjaya menanduk tepat ke arah pintu gol Pahang melalui hantaran Amirul Azhan namun berjaya diselamatkan Mohd Helmi Eliza.
Bagaimanapun, Pahang berjaya memperoleh jaringan hasil tendangan pemain import mereka, Herold Mark yang dimulakan daripada tendangan percuma Nor Azam Azih pada minit ke-56.
Situasi itu memaksa Durakovic merancang sesuatu bagi membolehkan Perak mendapatkan gol penyamaan.
Minit ke-67 Ahmad Khairil Anuar masuk menggantikan J Partiban.
Kelincahan Ahmad Khairil memaksa import Pahang, Mohamadou Sumareh membuat kekasaran dan dilayangkan kad kuning pada minit ke-69.
Malang menimpa anak buah Dollah Salleh apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Nor Azam dilayangkan kad kuning kedua sekaligus dibuang padang selepas mengasari Nazirul Naim.
Keampuhan benteng pertahanan Pahang gagal dibolosi pemain Perak sehingga tamat perlawanan dan mengekalkan keputusan 1-0.
Kekalahan Perak itu menyaksikan mereka berada di tangga kesembilan dengan enam seri, satu kemenangan dan dua tewas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!