Keputusan sertai UMNO dibuat sebelum PRU15 - Mohd Rafiq

 Mohd Rafiq Naizamohideen
Mohd Rafiq Naizamohideen
A
A
A

MELAKA - Bekas Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen menegaskan keputusannya untuk menyertai UMNO dibuat sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lagi iaitu sebelum diketahui parti mana yang bakal mentadbir negara.

Beliau berkata, permohonannya sebagai ahli UMNO diterima dan berkuat kuasa 18 Mac iaitu selepas Pemilihan UMNO melalui keputusan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO semalam selepas Mesyuarat Pengurusan UMNO pada Rabu lepas dan bukan kerana kedudukan UMNO yang berada dalam Kerajaan Perpaduan.

"Saya sedar keputusan yang saya buat untuk menyertai UMNO ketika ini tidak popular, tidak mungkin dipersetujui dan tidak mungkin dapat diterima oleh semua pihak.

"Namun saya yakin dan percaya, perjalanan karier politik saya yang penuh mencabar dari awal penglibatan saya sehingga ke hari ini termasuklah perjuangan saya semula bersama UMNO adalah ketentuan ALLAH,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, permohonan dihantar beberapa minggu lepas, dan beliau bertekad serta beriltizam untuk membantu dan berjuang bersama kepimpinan UMNO pusat, UMNO Melaka dan UMNO Bahagian Tangga Batu.

Mohd Rafiq yang sebelum ini tewas dalam pertandingan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri Telok Mas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lepas, mengumumkan peletakkan jawatannya dalam Bersatu dan keluar dari parti itu selepas tidak dipilih sebagai calon Pakatan Nasional dalam PRU15. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!