KKM adakan sesi townhall bersama Hartal Doktor Kontrak

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan akan mengadakan sesi perbincangan 'townhall' bersama Hartal Doktor Kontrak di bangunan kementerian itu pada 22 Februari ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, sesi perbincangan itu dijangka berlangsung selama dua jam iaitu bermula dari jam 4 hingga 6 petang.

"Perancangan telah dilakukan, insya-ALLAH akan diadakan satu sesi 'townhall' bersama Hartal Doktor Kontrak.

"Mereka yang terlibat boleh membuat pendaftaran. Untuk sesi bersama perjawatan sektor kesihatan yang lain, sedang diperinci dalam tempoh terdekat," jelasnya menerusi laman Twitter pada Jumaat.

Pengumuman itu dibuat selepas permintaan berulang kali daripada kumpulan Hartal Doktor Kontrak dan pergerakan penjagaan kesihatan lain untuk bertemu dengannya bagi mendengar keluhan pekerja penjagaan kesihatan.

Mereka terkilan dengan masalah yang menyelubungi sistem penjagaan kesihatan khususnya sistem kontrak dan tenaga kerja.

Bagaimanapun, media melaporkan Zaliha menasihatkan pekerja dalam sektor kesihatan awam supaya tidak terlibat dalam sebarang mogok tanpa pemberitahuan kerana ia tidak menyelesaikan masalah.

Sementara itu, Hartal Doktor Kontrak dalam satu kenyataan menerusi Twitter memberitahu, pihaknya tidak terlibat dengan sebarang mogok tidak terancang seperti yang telah diperkatakan oleh Zaliha.

"Kami percaya mogok yang dirancang rapi adalah jalan terakhir.

"Kesihatan dan keselamatan pesakit tetap jadi keutamaan kami," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!