320,000 pencarum desak benarkan pengeluaran KWSP

Pencarum yang mempunyai baki simpanan RM100,000 ke atas di KWSP mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar.
Pencarum yang mempunyai baki simpanan RM100,000 ke atas di KWSP mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 320,000 pencarum yang mempunyai baki simpanan RM100,000 ke atas di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar.

Presiden Global Human Rights Federation (GHRF), S Shashi Kumar berkata, pencarum tersebut kini berada dalam kesempitan untuk meneruskan hidup dan membina semula kehidupan yang hampir musnah selepas pandemik Covid-19.

"Ramai yang telah hilang pekerjaan, sukar untuk dapatkan pekerjaan kembali kerana faktor umur dan sebagainya," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghantar memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di hadapan bangunan Perdana Putra pada Jumaat.

Anwar diwakili oleh Pegawai Khas Setiausaha Sulit Kanan, Muhammad Fikri Khalid.

Menurutnya, kerajaan sepatutnya bertanggungjawab mendengar rintihan dan membantu rakyat.

"(Datuk Seri) Ahmad Maslan mengatakan KWSP tidak dibenarkan untuk dikeluarkan...

"Tidak mengapalah, rumahnya besar, dapat elaun, minyak kereta, bil elektrik dan telefon kerajaan bayar," katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpin Anwar perlu ingat jasa rakyat sehingga mereka dapat membentuk kerajaan.

"Tanpa rakyat kerajaan tidak akan ada," ujarnya.

Shashi Kumar berkata, rakyat seolah-olah menagih untuk mengeluarkan wang hak milik mereka.

"Kita tidak mahu merayu kerana ini hak kita. Ramai yang terpaksa tidur dalam kereta.

"Mana ada ahli Parlimen yang turun bantu rakyat melainkan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya.

Dalam pada itu, seorang ibu tunggal, S B Uma Devi merayu kerajaan membenarkan pengeluaran terbabit bagi menampung kehidupannya bersama dua anak.

Dia berkata, kehidupannya menjadi sukar selepas syarikat tempatnya bekerja menamatkan perkhidmatan pekerja pada tahun 2018.

"Sejak itu, saya hidup dengan duit simpanan untuk besarkan anak-anak kerana gagal mendapat pekerjaan tetap sehingga kini," katanya.

Dia yang kini berusia 49 tahun berkata, tiada sebarang bantuan yang diluluskan terhadapnya meskipun telah membuat permohonan.

"Saya ada dua anak dan kerajaan bantu tiap bulan RM100 untuk kedua-dua mereka, tapi itu tidak cukup," katanya.

Selain itu, dia turut bergantung hidup dengan bantuan dan ihsan badan bukan kerajaan (NGO).

"Sekarang ini saya memerlukan wang untuk membiayai persekolahan anak-anak saya. "Sebab itulah saya terdesak mahukan KWSP kali ini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Mohammad Farhan Jailani berkata, NGO memahami kegusaran kerajaan terhadap hari persaraan, tetapi rakyat perlu hidup pada hari ini.

"Hari tua bukanlah semata-mata bergantung kepada wang caruman KWSP, namun bergantung kepada kehidupan hari ini.

"Lagipun, wang ini titik peluh pencarum, bukan hak kerajaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!