Shafiq Fhadly tawar diri tanding Exco Pemuda UMNO

Mohd Shafiq Fhadly (kanan) menyerahkan borang pencalonan jawatan Exco Pemuda UMNO dalam pemilihan UMNO akan datang.
Mohd Shafiq Fhadly (kanan) menyerahkan borang pencalonan jawatan Exco Pemuda UMNO dalam pemilihan UMNO akan datang.
A
A
A

IPOH - Ketua Koordinator Komunikasi Barisan Nasional (BN), Mohd Shafiq Fhadly Mahmud menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pemuda UMNO dalam pemilihan parti itu akan datang.

Mohd Shafiq, 38, yang bertanding buat pertama kali pada pilihan raya lepas di kerusi Parlimen Larut telah menyerahkan borang pencalonan jawatan tersebut pada Khamis.

Beliau mahu menggunakan kepakaran dan pengalamannya dalam industri media dan media sosial untuk membantu memperkasa penguasaan media sosial di barisan Pemuda UMNO.

"Berbekalkan pengalaman saya di BNCOMMS (Korporat Komunikasi BN) sejak 2020 dan beberapa pengalaman penting ketika menjadi calon Parlimen, saya mahu pastikan Pemuda UMNO dapat meningkatkan penguasaan media sosial.

"Pemuda UMNO perlu lonjakan dalam penguasaan ini agar selari dengan peningkatan pengundi muda yang menjadi pengundi majoriti pada pilihan raya akan datang," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook pada Jumaat.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut itu berkata, Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan PRU15 menjadi bukti bahawa pengaruh media sosial membantu membentuk pemikiran kalangan anak muda dalam memilih parti politik.

Katanya, perkembangan politik era digital yang dinamik itu memaksa kepimpinan parti di setiap peringkat membina kekuatan media baharu.

"Kita tidak boleh nafikan, kekuatan parti akan terletak kepada sejauh mana parti termasuk jentera dan akar umbi menguasai media sosial," katanya.

Beliau turut memaklumkan, hasrat bertanding jawatan berkenaan mendapat restu Ketua Pemuda UMNO Perak, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid dan Ketua Pemuda UMNO Larut, Khairul Anuar Khairul Anuar Din.

"Saya harap diberikan sokongan dan peluang untuk menjayakan aspirasi ini," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!