Jantung tidak stabil, Ibnor Riza tangguh pembedahan
PENYANYI popular era 80-an, Ibnor Riza, 62, terpaksa menangguhkan pembedahan kecil untuk mengambil sampel daging di bahagian lehernya yang dijadualkan pada Khamis disebabkan keadaan jantung yang tidak stabil.
Menurut isteri Ibnor, Sarimah Sulaiman, 51, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Yang Tak Sudah itu pengsan di rumah mereka pada Rabu, sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban, Negeri Sembilan.
“Sebelum ini keadaan kesihatan suami bertambah baik selepas keluar hospital pada Januari lalu. Namun dua hari lalu, dia tiba-tiba pengsan dan doktor mengesahkan ada masalah pada jantungnya.
“Sepatutnya dia perlu menjalani pembedahan kecil untuk mengambil sampel di bahagian lehernya yang bengkak sebelum ini bagi mengenal pasti masalah sebenar penyakit yang dihidapi.
“Bagaimanapun mengambil kira keadaan jantung yang tidak stabil ketika ini, doktor terpaksa menangguhkan seketika pembedahan tersebut kerana bimbang berlakunya komplikasi lain seperti sawan dan jantung berhenti,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian.
Bagaimanapun, Ibnor yang masih mendapat rawatan di hospital tersebut kini dalam keadaan yang stabil.
“Alhamdulillah dia dalam keadaan stabil, boleh bercakap dan makan seperti biasa. Cuma apabila dia pengsan baru-baru ini, doktor bimbang keadaan jantungnya.
“Saya difahamkan bengkak di lehernya itu telah menghimpit salur saraf antara otak ke jantung menyebabkan dia pengsan. Bacaan gula dalam darah juga tidak menentu.
“Jadi saya dan keluarga sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan perlu memantau setiap perubahan yang berlaku pada dirinya agar tidak berlaku apa-apa yang tidak diingini,” katanya yang memohon orang ramai mendoakan yang terbaik untuk kesihatan Ibnor.
Ibnor sebelum ini dilaporkan menghidapi pelbagai penyakit seperti bengkak leher, kencing manis, darah tinggi, migrain serta kehilangan hilang suara sejak tiga bulan lalu.
Dalam pada itu, Sarimah berterima kasih kepada beberapa pihak termasuk Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air dan Yayasan Artis Veteran Malaysia yang prihatin dan tampil menghulurkan sumbangan untuk membantu meringankan kos rawatan Ibnor.
Bagi yang ingin menghulurkan sumbangan, boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank: 114478024958 atas nama Ibnor Riza Ibrahim.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!