97.71 peratus pekerja p-hailing adalah belia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melibatkan 6,657 pekerja p-hailing mendapati 97.71 peratus daripada mereka adalah belia yang berumur 15 hingga 30 tahun, manakala 2.29 peratus lagi terdiri daripada warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Dalam kenyataan pada Jumaat, DOSM memaklumkan kajian yang dijalankan dari 1 Mac hingga 31 Disember 2022 mendapati kebanyakan pekerja p-hailing mempunyai tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) / Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV) atau setaraf (39.54 peratus), kelulusan Diploma dan setaraf (23.24 peratus) dan Ijazah Sarjana Muda (11.79 peratus).

"Dapatan juga menunjukkan 0.21 peratus pekerja p-hailing adalah kelompok yang tidak bersekolah dan 0.99 peratus tidak mempunyai sebarang kelayakan akademik,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, 73.98 peratus pekerja p-hailing menjadikan pekerjaan itu sebagai sumber pendapatan utama, manakala 70.35 peratus menjadikannya sebagai pekerjaan utama, selain 29.65 peratus tidak menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan utama mereka.

Mengenai perlindungan sosial pula, kajian itu mendapati 72.25 peratus responden mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), dan hanya 22.05 peratus yang mencarum dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

DOSM memaklumkan terdapat peningkatan pendapatan pekerja p-hailing selepas menyertai aktiviti penghantaran makanan dan barangan, dengan pendapatan tertinggi yang diperoleh antara RM1,501 hingga RM2,499 (26.78 peratus), diikuti RM1,500 dan ke bawah (23.39 peratus) serta RM2,500 hingga RM3,170 (11.67 peratus).

"Terdapat 36.61 peratus pekerja p-hailing mempunyai simpanan mahu pun pelaburan sendiri manakala 63.39 peratus tidak mempunyai apa-apa simpanan.

"Dari segi pemilikan polisi insuran didapati 45.07 peratus pekerja p-hailing mempunyai polisi insurans sendiri manakala 54.93 peratus adalah sebaliknya,” menurut kenyataan itu.

Menurut DOSM, waktu bekerja pekerja p-hailing dalam seminggu menunjukkan tiga kategori tertinggi ialah yang bekerja antara tempoh 49 jam hingga 84 jam (30.79 peratus), 30 jam hingga 48 jam (25.84 peratus) dan kurang daripada 30 jam (25.42 peratus).

Kajian itu mendapati lima sebab utama pekerja p-hailing menyertai bidang perkhidmatan itu adalah untuk menampung perbelanjaan harian, membantu keluarga, mempunyai masa bekerja fleksibel, membuat simpanan dan tidak terikat dengan peraturan atau kontrak pekerjaan.

DOSM berkata, terdapat lima tumpuan strategik yang meliputi 19 inisiatif dan 19 pelan tindakan yang dicadangkan hasil kajian itu, antaranya memastikan kebajikan pekerja p-hailing dilindungi di bawah perundangan perburuhan atau yang setara serta menyediakan saluran aduan dan komunikasi sesuai bagi menyelesaikan pertikaian antara syarikat penyedia perkhidmatan dan pekerja. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!