'Speaker terkhilaf, saya hadir mesyuarat'

Harumaini
Harumaini
A
A
A

SHAH ALAM - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Ng Suee Lim digesa menarik semula pengisytiharan pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Harumaini Omar berkata, ini kerana berlaku kekhilafan dalam keputusan tersebut berdasarkan Perkara LXIX Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.

Menurutnya, Suee Lim perlu menarik balik pengisytiharan tersebut dengan serta-merta dan membenarkannya hadir selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi Mesyuarat Pertama, Penggal Keenam DUN Selangor yang dijadualkan bermula 13 Mac depan.

"Saya menyatakan bahawa Speaker telah terkhilaf dari segi fakta atau undang-undang apabila membuat pengiraan tempoh enam bulan bermula dari tarikh 27 Julai 2022 yang merupakan tarikh sidang dewan yang dihadiri saya.

"Saya mengesahkan di sini bahawa saya telah hadir sebagai ADUN bagi Mesyuarat Pertama dan Mesyuarat Kedua. Meskipun saya hadir pada 27 Julai 2022, kehadiran saya adalah masih di dalam sidang atau mesyuarat kedua yang sama (same sitting)," katanya menurut surat permohonan menarik balik pengisytiharan pengosongan kerusi DUN Batang Kali yang dihantar kepada Suee Lim pada Jumaat.

Menerusi surat tersebut, beliau memohon maklum balas bertulis daripada Suee Lim dari tarikh penerimaan surat berkenaan.

Pada masa sama, Harumaini berpandangan, kuasa menentu dan mengesahkan berlaku kekosongan luar jangka hendaklah ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan bukannya Speaker mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

"Malah, berdasarkan beberapa keputusan mahkamah, adalah jelas bahawasanya SPR yang berkuasa mengesahkan kekosongan yang berlaku, bukannya Speaker.

"Hal ini mengambil kira peruntukan yang terkandung di dalam Seksyen 12(3) Akta Pilihanraya 1958 yang menyebut sesuatu kekosongan hendaklah dipenuhi dalam sesuatu pilihan raya kecil (PRK).

"Suatu writ hendaklah dikeluarkan tidak dahulu daripada empat hari dan tidak lewat daripada sepuluh hari dari tarikh kekosongan itu disahkan berlaku oleh SPR," katanya.

Justeru katanya, berpandukan kepada peruntukan undang-undang tersebut, beliau memohon Suee Lim memberikan pertimbangan wajar untuk menarik balik semula keputusan tersebut.

Beliau juga menyarankan agar hak bersuara di dalam sistem demokrasi di negeri Selangor diberikan secara adil tanpa ada motif peribadi atau agenda politik tertentu dengan tidak meminggirkan hak ADUN-ADUN dari blok pembangkang dan blok bebas.

"Dengan tempoh DUN Selangor ke-14 yang akan dibubarkan tidak lama lagi, saya juga tidak melihat apa-apa bentuk prejudis jika saya dibenarkan terus berkhidmat sebagai ADUN Batang Kali bagi tempoh penggal terakhir ini," katanya.

Suee Lim menerusi sidang akhbar pada Khamis mengisytiharkan kekosongan DUN Batang Kali selepas Harumaini gagal menghadirkan diri dalam persidangan DUN Selangor selama enam bulan tanpa sebarang notis.

Ia berdasarkan data penyata rasmi dan buku kedatangan, ADUN terbabit tidak hadir tanpa kebenaran Speaker pada keseluruhan persidangan DUN dari 23 hingga 30 November 2022, 1 hingga 2 Disember 2022 dan 5 hingga 6 Disember 2022.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!