Tiga warga emas leka beli nombor ekor dicekup

Tiga warga emas dicekup dalam sebuah premis di Taman Debunga Merlimau pada Rabu.
Tiga warga emas dicekup dalam sebuah premis di Taman Debunga Merlimau pada Rabu.
A
A
A

JASIN - Tiga warga emas kaki judi 'kantoi' ketika membeli nombor ekor di sebuah premis di Taman Debunga Merlimau di sini, pada Rabu lalu, apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, dua daripada mereka berusia 66 tahun dan seorang lagi 71 tahun mengaku ketagih berjudi sejak lebih 40 tahun lalu.

Menurutnya, ketika pemeriksaan dilakukan di premis itu mendapati tiga lelaki beragama Islam sedang asyik menulis di atas meja.

"Ketika ditahan mereka memberikan alasan terpengaruh dengan ajakan rakan dan ketagih.

"Malah ada yang memberikan alasan berjudi kerana terdengar bisikan halus supaya membeli nombor ekor," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, operasi disertai enam penguat kuasa turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 39 tahun dan seorang pekerja kilang papan warga Indonesia yang mengaku ketagihan judi sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, dalam operasi sama, penguat kuasa daerah Melaka Tengah dan Alor Gajah masing-masing mengeluarkan empat dan satu surat perintah hadir kepada lima individu berusia antara 45 hingga 66 tahun

"Kesemua mereka diberikan surat perintah hadir di bawah Seksyen 81 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

"Selain orang ramai yang prihatin, ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) juga menyalurkan maklumat dan membantu JAIM mengekang aktiviti tidak bermoral seperti ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!