Peniaga bingung lori parkir luar Puspakom lesap
SEREMBAN - Seorang peniaga yang menunggu giliran untuk membuat pemeriksaan lori Roll-On-Roll-Off (RoRo) di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom), Senawang terkejut selepas mendapati kenderaannya itu hilang.
Menceritakan kejadian terbabit, R Perumal, 52, berkata, lori lima tan tersebut telah diparkir di luar Puspakom pada Ahad memandangkan tarikh temu janji pemeriksaan adalah pada Isnin jam 8 pagi.
"Memandangkan orang ramai, jadi pada Ahad (12 Februari) saya telah buat keputusan untuk parkir lori di luar Puspakom lebih awal yang mana ia turut dilakukan oleh pemilik lori lain.
"Kemudian saya pulang ke rumah. Tapi pada jam 4.30 pagi 'runner' yang saya upah untuk menguruskan urusan pemeriksaan tersebut memberitahu lori saya telah dicuri," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Menurutnya, dia bergegas ke lokasi dan berusaha mencari di kawasan sekitar namun gagal ditemui.
Ujarnya, apa yang menghairankan kerana hanya lorinya sahaja yang dilaporkan hilang sedangkan banyak lagi lori lain turut diparkir di situ untuk menunggu giliran temu janji.
"Sudah banyak kali saya buat urusan begini, tapi tak pernah pula saya dengar ada kes lain yang berlaku. Saya betul-betul pelik.
"Lori ini baharu berusia lima tahun dan ia digunakan untuk urusan perniagaan saya. Jadi saya sangat susah hati jika lori saya disalahgunakan," ujarnya.
Sehubungan itu dia menasihatkan pemilik lori lain yang meletakkan kenderaan mereka di lokasi tersebut supaya berhati-hati.
Kata Perumal, dia telah pun membuat laporan polis pada Isnin dan mengharapkan ihsan orang ramai untuk menghubunginya di talian 012-6166884 jika menjumpai lorinya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!